Pasukan MOSAR membantu menyediakan mangsa untuk dibawa turun untuk mendapatkan rawatan. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki wanita cedera selepas tersalah pijak batu semasa mendaki Gunung Kinabalu pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Talib berkata, kejadian malang yang menimpa wanita berusia 44 tahun itu berlaku di Kilometer 7.1 berhampiran Sayat Sayat Point denai mendaki Kinabalu kira-kira jam 8.40 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat (MOSAR) Gunung Kinabalu dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
Mereka turut disertai oleh tiga Malim Gunung dan seorang Renjer Taman-Taman Sabah ke lokasi terletak sejauh 600 meter itu.
“Apabila tiba di sana, didapati seorang pendaki tempatan terseliuh di buku lali kanannya. Pasukan MOSAR bertindak membawa mangsa ke Pencawang Panalaban untuk memberi rawatan awal.
“Selepas itu, Pasukan MOSAR bersama anggota Renjer Taman-Taman Sabah dan Malim Gunung membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robinson,” katanya.