Fuziah Salleh (tiga kiri) menyerahkan replika sebagai gimik bantuan tanpa tunai kepada salah seorang pelajar di Kota Bharu, Kelantan kelmarin.
KOTA BHARU: Kerajaan akan menyekat bantuan tanpa tunai yang disalurkan menerusi ‘e-wallet’ kepada pelajar tingkatan enam dan Kolej Vokasional jika dikesan membeli ‘game online’.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, bantuan itu boleh digunakan untuk membeli data internet dan kos pengangkutan.
“Selain itu, pelajar boleh menggunakan bantuan ini untuk membeli kebersihan diri atau alat tulis.
“Saya harap pelajar yang menerima bantuan ini memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita sempena Program Outreach Sara Hidup di Bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam Aliran Agama Kelantan di sini kelmarin.
Seramai 240 pelajar tingkatan enam dan pelajar Kolej Vokasional menerima bantuan tersebut.
Fuziah memberitahu, sehingga kini seramai 4,116 pelajar terbabit telah menerima bantuan RM50 sebulan bagi tempoh tiga bulan berturut-turut iaitu sebanyak RM150.
Katanya, pemberian tanpa tunai ini boleh mengurangkan risiko penyalahgunaan bantuan.































