Peserta mogok di luar bangunan Universal Studios di Barham Blvd.
LOS ANGELES: Majlis Perbandaran Los Angeles sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pihak yang melakukan kerja pemangkasan dan pemotongan dahan pokok di sebatang jalan di luar bangunan Universal Studios.
Ia ekoran wujudnya dakwaan kerja pemangkasan itu dilakukan agar barisan pelakon dan penulis skrip yang menyertai mogok di luar studio perfileman terdedah kepada cuaca panas melampau yang kini melanda Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, pemilik studio NBC Universal menafikan melakukan kerja pemangkasan dahan pokok di luar bangunannya untuk menyukarkan lagi keadaan golongan itu yang mogok di bawah terik matahari.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai Majlis Perbandaran Los Angeles, Kenneth Mejia pada mulanya menyatakan penyelenggaraan berkala membabitkan kerja pemangkasan dahan pokok berada dibawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) bandar tersebut.
Malah, beliau memaklumkan syarikat perniagaan masih boleh mendapatkan permit untuk melakukan kerja memangkas dahan pokok meskipun agensi awam StreetsLA bertanggungjawab bagi penyelenggaraan berkala itu.
Bagaimanapun, Mejia menerusi hantaran di media sosial menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan permit pemangkasan terbabit kepada mana-mana syarikat sejak tiga tahun lalu.
“Dengan kerjasama Biro Perkhidmatan Jalanan, kami mendapati tiada permit pemangkasan pokok dikeluarkan sejak tiga tahun lalu untuk lokasi di luar Universal Studios.
“Selain itu, majlis perbandaran Los Angeles juga tidak mengeluarkan sebarang permit pemangkasan dahan pokok di jalan luar bangunan terbabit,” katanya.
Isnin lalu, sekumpulan individu yang menyertai piket di luar bangunan Universal Studios di Barham Blvd mengadu deretan pokok ficus yang menjadi tempat teduh, sudah dicantas sehingga menyusahkan golongan itu ketika cuaca panas melampau.
Lebih ratusan ribu penggiat filem termasuk selebriti menyertai mogok selepas rundingan antara wakil pelakon dan penerbit gagal mencapai kata putus.
Penerbit-penerbit filem gagal memenuhi tuntutan mereka dengan tidak memberikan bayaran yang setanding dengan populariti dan sumbangan pelakon.
Sebelum itu, penulis skrip melakukan protes di luar ibu pejabat Disney dan Netflix selepas tuntutan mereka juga tidak dilayan.