Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak akan sekali-kali berkompromi atau menyerahkan haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Kedudukan mutlak ini juga terpakai kepada kelayakan pemberian khas menurut Perkara 112C dan seksyen 2 Bahagian IV dalam Jadual Kesepuluh serta Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang secara nyata memperuntukkan formula dan kajian semula 40 peratus kelayakan hasil bersih diperoleh oleh Persekutuan yang berasal dari Sabah, tambahnya.
“Adalah perlu untuk menjelaskan perkara ini secara menyeluruh sebagai tindak balas kepada dakwaan tidak berasas bahawa Kerajaan Negeri telah melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini.
“Saya boleh menyatakan dengan jelas bahawa Sabah tidak melepaskan mana-mana hak perlembagaannya berkenaan dengan pengaturan pada 2022 untuk penyelesaian sementara.
“Oleh itu, penerimaan bayaran interim sebanyak RM125.6 juta (meningkat daripada RM26.7 juta) dinyatakan dengan tegas tanpa menjejaskan semua hak negeri. Secara khusus, tertakluk kepada hak Negeri untuk bergantung kepada formula sedia ada dan persetujuan untuk meneruskan rundingan selanjutnya dengan Kerajaan Persekutuan. Disebabkan perbezaan tafsiran dan kuantum maka kami bersetuju untuk tidak bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai syarat lanjut kepada pengaturan sementara itu, Masidi berkata, Sabah secara nyata berhak untuk menuntut apa yang patut bagi ketidaksempurnaan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan perlembagaan setiap lima tahun sejak 1974.
“Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kata sepakat selepas rundingan maka kami akan merujuk perkara ini kepada penilai bebas seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menegaskan bahawa susunan perlembagaan bagi Sabah ini dinyatakan secara jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27.02.1963 dan merupakan perjanjian perkongsian hasil yang dipersetujui antara Negeri Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
“Tiada siapa boleh menafikan fakta sejarah ini.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa menjaga hak perlembagaan negeri. Kami sangat menyedari apa yang dipertaruhkan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi harapan tinggi orang ramai.
“Undang-undang tertinggi negara mesti dihormati dan kami yakin Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan mencapai penyelesaian yang adil dan saksama kepada isu yang telah lama tertangguh ini secepat mungkin,” kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ADUN Karanaan itu.