Pasukan polis sedang memujuk suspek yang mengurung diri dan ibunya dalam bilik tidur di Manggatal, Kota Kinabalu semalam.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki disyaki kurang siuman bertindak menetak dan mencederakan dua anggota polis yang cuba menyelamatkan ibunya yang dikurung oleh suspek dalam bilik di sebuah rumah di Manggatal, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, lelaki berusia 44 tahun yang merupakan bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang itu menetak dan mencederakan pegawai kanan dan anggota polis berkenaan semasa berlaku pergelutan ketika pasukan serbuan cuba menyelamatkan ibu suspek.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua pegawai dan anggota mengalami kecederaan di bahagian lengan, kepala dan bahu kanan.

Mohd. Zaidi Abdullah
Sebelum itu, pihaknya menerima aduan lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong daging telah mengamuk dan bertindak mengurung ibu dan kakaknya di dalam rumah.
Bertindak atas aduan, Mohd. Zaidi bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah serta sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah telah ke lokasi kejadian.
“Suspek telah dipujuk untuk menyerah diri namun, beliau enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya. Selepas itu suspek bertindak mengunci diri bersama ibunya dalam bilik tidur.
“Selepas usaha memujuk suspek selama hampir dua jam menemui kegagalan dan tiada tanda-tanda suspek mahu bekerjasama untuk menyerah diri dan membebaskan ibunya maka, pihak polis bertindak menyerbu masuk ke bilik berkenaan.
“Pasukan serbuan bertindak memecahkan pintu bilik tidur tersebut dan berjaya menyelamatkan ibu suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walau bagaimanapun, semasa pasukan serbuan masuk ke dalam bilik berkenaan, suspek telah bertindak agresif hingga berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan dan suspek bertindak menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan seorang anggota berpangkat Sarjan.
Jelas beliau, suspek mengamuk sedemikian kerana dipercayai tidak mengambil ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital.
Kes disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.