Aplikasi Threads capai 109 juta pengguna selepas tujuh hari pelancarannya.
WASHINGTON: Aplikasi Threads yang diperkenalkan syarikat induk Facebook, Meta berjaya mencipta rekod apabila melepasi angka 109 juta pengguna dalam tempoh tujuh hari pertama pelancarannya.
Menurut Utusan Malaysia, walaupun masih tidak mempunyai banyak ciri termasuk keupayaan untuk memadamkan akaun, ramai yang menyuarakan pujian mereka terhadap aplikasi yang turut dipanggil ‘Twitter-killer’ itu.
Platform pertama Meta, Facebook, mengambil masa empat setengah tahun untuk memperoleh pencapaian sama menarik 100 juta pengguna pada tahun 2008.
Instagram mencapai kejayaan itu dua kali lebih pantas apabila mengambil masa dua setengah tahun selepas pelancarannya pada 2010.
Malah, aplikasi popular ChatGPT dan TikTok dilaporkan mencecah 100 juta pengguna masing-masing dalam tempoh dua dan sembilan bulan.
Twitter pula mengambil masa dua tahun untuk mencapai satu juta pengguna sebelum melonjak kepada 151 juta menjelang 2012, lebih lima tahun selepas pelancarannya.
Jika Threads terus berkembang pada kadar semasa, pendaftaran akaun baharu boleh mencapai 200 juta menjelang akhir minggu depan.
Namun masih tidak jelas berapa ramai pengguna Thread baharu yang aktif secara konsisten di platform berkenaan walaupun mencatat kejayaan mengumpul akaun baharu dalam tempoh yang sangat singkat.
Terdapat beberapa pengguna Threads yang mendakwa kembali menggunakan Twitter beberapa hari selepas mencubanya buat kali pertama.