KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen negara perlu dirombak secara menyeluruh bagi menyelamatkan imej negara, kata Ketua Penerangan Bahagian Api-Api Parti Bersatu Sabah Yee Tsai Yiew.
Memberi respons terhadap dakwaan peras ugut yang melibatkan seorang pelancong warga China yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata, sudah tiba masanya jabatan itu menjalani pembaharuan untuk menjadi lebih efisien.
“Sebarang kejadian yang boleh menjejaskan pengalaman pelancong, khususnya di pintu masuk negara kita, tidak boleh diterima dan perlu dihukum. Hal ini boleh membawa nama buruk kepada negara, dan menjejaskan industri pelancongan kita,” kata Yiew dalam satu kenyataan hari ini.

Yee Tsai Yiew
Selain menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang adil dan teliti berhubung insiden itu sebagai langkah memulihkan keyakinan pengunjung dari luar negara, Yiew yang juga Setiausaha Jawatankuasa Usahawan Muda Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC Sabah), mencadangkan beberapa strategi untuk menambah baik proses imigresen lapangan terbang Malaysia bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.
“Jabatan Imigresen harus memperluaskan aplikasi sistem pengecaman muka kepada semua pelawat antarabangsa, bukannya menghadkannya kepada pemegang pas lawatan jangka panjang, untuk memudahkan proses pelepasan, di samping menempatkan kakitangan tambahan semasa waktu puncak bagi mengurangkan masalah kesesakan untuk memudahkan dan menambah baik prosedur imigresen,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan menempatkan jurubahasa atau kakitangan berbilang bahasa, terutamanya di kaunter Imigresen, untuk memberikan bantuan kepada pelancong asing yang menghadapi kesukaran berkomunikasi bagi membantu mengurangkan salah faham.
“Selain itu, Jabatan Imigresen perlu menangani isu ketelusan dengan menjelaskan sebarang kelewatan atau keperluan tambahan, dan mewujudkan mekanisme yang jelas dalam penyelesaian aduan bagi memberi kemudahan kepada pelancong luar negara.
“Latihan komprehensif mesti diberikan kepada pegawai imigresen, termasuk kursus mengenai isu sensitif dalam budaya, perhubungan awam, dan bahasa asing serta semakan berkala terhadap kelakuan pegawai imigresen untuk mencegah tingkah laku yang tidak wajar dan memastikan pelaksanaan perubahan ini dengan berkesan.”
Beliau menegaskan ini adalah penting untuk memastikan protokol yang betul disediakan dan kakitangan barisan hadapan pelancongan mematuhi standard profesionalisme.































