Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor akan bertemu dengan Shell Malaysia bagi membincangkan isu 35 stesen minyaknya di Sabah dan Labuan yang akan ditutup awal tahun depan.
“Saya sedar situasi itu dan akan bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman untuk mengetahui lebih lanjut mengenai situasi dan nasib pengusaha stesen minyak yang terlibat di Sabah dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shell Timur Sdn. Bhd., yang mengendalikan kiosk Shell di Sabah dan Labuan telah mengesahkan ia akan menutup beberapa stesen minyak yang kurang produktif di Malaysia Timur untuk mengekalkan prestasi syarikat dalam semakan yang sedang dibuat.
Dilaporkan bahawa stesen minyak yang terlibat ialah 10 di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu.































