Tun Juhar Mahiruddin semasa Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.
KOTA KINABALU: Pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara telah memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan negeri Sabah.
Pada tahun lalu, jumlah ketibaan pelancong ke negeri Sabah mencecah 1.73 juta orang berbanding hanya 371,187 orang yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Ketibaan pelancong antarabangsa dari negara Singapura, Brunei Darussalam, United Kingdom, Perancis dan Belanda telah menunjukkan peningkatan yang ketara.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, pada tahun ini, Kerajaan Negeri menjangkakan ketibaan seramai 2.2 juta orang pelancong ke Sabah yang dijangka berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.
“Justeru, bagi mencapai sasaran tersebut, Kerajaan Negeri komited untuk merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif terutama promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara ke arah menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan paling menarik di Malaysia, sama ada untuk para pelancong domestik atau lebih-lebih lagi untuk para pelancong dari luar negara,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.
Menurutnya, usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam semula jadi yang merupakan salah satu aset pelancongan penting dalam memajukan sektor ekopelancongan negeri Sabah akan terus diberi tumpuan tahun ini.
Langkah ini bagi memastikan kekayaan sumber khazanah alam semula jadi, termasuk kepelbagaian biodiversiti negeri ini sentiasa terpelihara supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang serta dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk menjana ekonomi negeri melalui pembangunan lebih banyak produk-produk ekopelancongan, terutama yang bertaraf premium, tambahnya.
Pada masa yang sama katanya, fasiliti-fasiliti pelancongan di kawasan-kawasan tumpuan para pelancong, termasuk di bawah Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar, akan terus ditambah baik.
“Pelaksanaan pelbagai program untuk memartabatkan khazanah budaya pelbagai kaum dan etnik di negeri ini juga akan terus diperkasa. Sehubungan itu, pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan beberapa program yang berkaitan termasuk Museum and Cultural Festival 2023 bagi memperkenal dan mempromosikan kepelbagaian dan keunikan khazanah budaya serta kreativiti etnik negeri Sabah. Inisiatif pendigitalan juga kini giat dijalankan bagi memantapkan pengurusan kebudayaan di negeri ini. Terkini, inisiatif Pengembangan Seni Budaya Dan Perlindungan Harta Intelek Budaya telah dilaksanakan dan didokumentasikan dalam bentuk digital.”
Sektor pertanian
Dalam sektor pertanian, khususnya bagi subsektor tanaman, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan Program Pembangunan Komoditi Tanaman bagi meningkatkan lagi hasil tanaman negeri ini.
Tun Juhar berkata, antara yang akan menjadi keutamaan pada tahun ini adalah penanaman buah-buahan seperti durian musang king, nanas MD2, avokado, pisang sabah dan mangga chokanan, sayur-sayuran, tanaman singkat masa seperti jagung manis, halia dan keladi serta tanaman industri, khususnya kopi dan kelapa.
Sebagai pemangkin kepada usaha ini katanya, Kerajaan Negeri telah membangunkan enam buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan enam buah mini TKPM yang menekankan kepada aktiviti pertanian berskala besar, penggunaan teknologi terkini serta pengeluaran produk berproduktiviti dan berkualiti tinggi yang mana selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri Sabah sebagai hab makanan serantau.
Bagi memperkukuh jaminan bekalan beras, seluas 1,600 hektar tanah di Terusan Sapi, dalam daerah Beluran telah diperuntukkan untuk penanaman padi. Penekanan juga akan diberikan kepada usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman yang berkualiti dalam tempoh masa yang singkat dan rintang penyakit melalui Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berinovasi tinggi. Di samping itu, Skim Pengesahan Bahan Tanaman juga dilaksanakan bagi menjamin ketulenan bahan tanaman.
“Bagi merangsang pembangunan industri getah di negeri ini, Kerajaan Negeri komited untuk memperluas kawasan tanaman getah dan meneruskan kerja penyelenggaraan ladang getah bagi kawasan yang telah dibangunkan dari tahun 2018 hingga 2022. Manakala bagi meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah, Kerajaan Negeri akan meneruskan program pembangunan keusahawanan seperti program Aktiviti Ekonomi Tambahan.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus membangunkan industri ternakan ruminan. Tumpuan akan diberikan kepada sektor pengeluaran makanan berasaskan ternakan dengan menekankan kepada usaha- usaha untuk meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) bagi pengeluaran daging ruminan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import. Untuk itu pada tahun ini, fokus pembangunan bagi subsektor ini lebih tertumpu kepada pemerkasaan industri ternakan ruminan. Pelaksanaan Projek Integrasi Ternakan di Bawah Kelapa Sawit (PINTAR) dan Projek Pembangunan Usahawan Kambing akan diteruskan dan dijangka akan mendatangkan impak yang besar kepada output industri ternakan negeri Sabah. Kerajaan Negeri juga akan terus mempertingkatkan usaha untuk mengawal, mencegah dan membasmi penyakit haiwan dan zoonotik merbahaya,” ujarnya.
Dalam subsektor perikanan, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin sumber bekalan perikanan yang mencukupi di negeri ini.
Tun Juhar berkata, antaranya merangkumi inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan sumber perikanan laut dan sungai, aktiviti akuakultur komersial dan penerokaan laut dalam, menarik lebih banyak pelaburan dalam industri perikanan, memperkasa modal insan, memperhebat penguatkuasaan, memperkukuh kolaborasi penyelidikan bersasar dan mempergiat program konservasi termasuk projek tagal dan tukun tiruan.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Peningkatan Pendapatan Kumpulan Sasar untuk membantu golongan nelayan artisanal serta usahawan kecil hiliran perikanan dan akuakultur.
“Di bawah Program Pembangunan Modal Insan dan Usahawan, Kerajaan Negeri juga melaksanakan kursus-kursus up-skilling dan re-skilling serta latihan kemahiran Technical, Vocational, Educational and Training (TVET) bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikendalikan oleh Pusat Latihan Akuakultur KO-NELAYAN (KATC) dan Latihan Pembangunan Nelayan melibatkan belia-belia di Sabah.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri menerusi Projek Pengeluaran Benih Ikan Marin (SENTS) akan membekalkan benih sebanyak 60,000 ekor kepada pengusaha akuakultur. Kerajaan Negeri melalui Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) juga sedang membina dua buah jeti di Kompleks SAFMA, Kota Kinabalu; sebuah untuk pendaratan dan sebuah lagi untuk bekalan diesel dan air. Jeti-jeti ini dijangka dapat menampung dua kali ganda keupayaan fasiliti sedia ada bagi memperkukuhkan lagi jaringan infrastruktur perikanan.”
Tun Juhar berkata, program perladangan kontrak seperti Projek Penternakan Ayam Daging, Projek Ayam Kampung, Projek Cendawan, Projek Penternakan Lebah Madu dan Projek Penanaman Pamelo yang sedang dilaksanakan pada masa ini untuk membantu golongan miskin di kawasan luar bandar juga akan terus diberi tumpuan.
Katanya, dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran dan mengembangkan hasil pertanian, sebanyak lima daripada enam pusat hasil tani yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri, khususnya bagi membantu petani tempatan untuk memasarkan hasil-hasil ladang mereka, telahpun beroperasi.
Dalam aspek peningkatan kualiti dan keselamatan makanan serta meningkatkan daya saing hasil pertanian di pasaran antarabangsa, Kerajaan Negeri turut menjalankan pensijilan bagi hasil-hasil pertanian termasuk pensijilan Malaysian Good Agricultural Practice (My-GAP), Malaysian Organic (myOrganic) dan Fish Quality Certificate (FQC), jelasnya.
“Pengurusan kawasan tadahan air akan terus diperkasa bagi mengekalkan kawasan-kawasan tadahan air di negeri ini bukan sahaja untuk menjamin bekalan air tetapi juga bagi mengawal punca berlakunya banjir. Di samping itu, pembangunan dan penempatan di kawasan- kawasan semulajadi, rizab sungai dan kawasan rendah yang kerap dilanda banjir akan dielakkan,” kata Juhar.
Sektor perindustrian
Dalam sektor perindustrian, fokus utama pembangunan Kerajaan Negeri adalah untuk melaksanakan pelbagai program dan projek perindustrian berimpak tinggi.
Kata Tun Juhar, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merancakkan aktiviti-aktiviti hiliran bernilai tinggi agar dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Di samping itu, untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, Kerajaan Negeri akan menambah baik kemudahan infrastruktur serta menyediakan persekitaran yang kondusif dan mesra pelabur di taman- taman perindustrian sedia ada.”
Menyentuh tentang perkembangan positif sektor perindustrian dalam negeri, Juhar berkata penghargaan dan ucapan syabas harus diberikan kepada Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji atas usaha gigih dan inisiatif bagi menarik para pelabur ke negeri ini.
“Diharapkan ekonomi negeri akan terus berkembang pesat demi kebaikan dan manfaat seluruh rakyat. Nilai pelaburan yang diterima oleh negeri Sabah dalam sektor pembuatan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM8.49 bilion berbanding RM4.48 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu dengan peningkatan hampir 90 peratus,” katanya.
Bagi inisiatif-inisiatif utama yang merupakan flagship projects di bawah Pelan Pembangunan SMJ, Juhar berkata setakat bulan Mac 2023, status kemajuan pembinaan kilang kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) adalah pada kadar 72.3 peratus.
Manakala, status kemajuan pembinaan kilang pembuatan kaca solar di KKIP dan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati, Kudat oleh Syarikat SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. pula masing-masing pada kadar 27 peratus dan 35 peratus.
“Kilang-kilang ini dijangka akan mula beroperasi pada suku keempat tahun 2023. Prestasi dan pencapaian projek-projek ini menunjukkan bahawa strategi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik pelaburan berimpak tinggi telah memberikan kesan positif kepada pertumbuhan sektor-sektor ekonomi khususnya sektor pembuatan negeri Sabah,” katanya.
Pembangunan infrastruktur dan utiliti memainkan peranan penting sebagai pemboleh daya efektif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, katanya, sambil menambah Kerajaan Negeri akan memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menambah baik kemudahan infrastruktur dan utiliti termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembetungan, pelabuhan dan dermaga serta pengangkutan awam, akan diperhebatkan termasuk menyegerakan pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.