KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam seperti pasar umum, tapak tamu, gerai, kiosk-kiosk perniagaan, tandas awam, dewan masyarakat dan taman awam di kawasan-kawasan pekan dan luar bandar.
Ini bertujuan untuk menyokong pemulihan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan kondusif dan selesa kepada pengguna dan peniaga serta peningkatan pulangan hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui kutipan bayaran sewa dan lesen perniagaan.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, dua projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah disiapkan ialah Pasar Umum Pekan Semporna dan Gerai Sayur Pekan Kundasang.
“Pada tahun ini, beberapa projek baharu akan dimulakan iaitu projek pembinaan Pasar Am Pekan Kinarut, Pasar Rakyat 2 Tingkat di Pekan Beluran dan Pasar Masyarakat Majlis Daerah Pitas serta projek menaik taraf Pasar Umum Majlis Daerah Tambunan, Tapak Tamu dan Gerai Pekan Apin-Apin Keningau dan Pasar Awam dan Gerai-Gerai di sekitar Pekan Beaufort, Membakut dan Weston,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pindaan terhadap Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 dan penggubalan dan pewartaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 2022 serta melaksanakan semakan ke atas 335 undang-undang kecil untuk dikuatkuasakan oleh semua PBT.
Ini bertujuan untuk menambah baik dasar dan perundangan Kerajaan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat, tambahnya.
“Adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat, khususnya golongan berpendapatan rendah, setinggan dan kumpulan B40. Justeru, di bawah RMK12, Projek Perumahan Awam Mampu Milik yang akan dijual pada harga RM47,000 seunit akan dilaksanakan pada tahun ini melibatkan pembinaan rumah teres di Sukau, Kota Kinabatangan, Melalap, Tenom dan Beluran.
“Di bawah inisiatif Pelan Pembangunan SMJ pula, Kerajaan Negeri dengan kerjasama daripada sektor swasta sedang giat membina sebanyak 662 unit rumah mampu milik, masing- masing sebanyak 502 unit akan dibina di Kinarut dan sebanyak 160 unit lagi di Tuaran.
“Dalam hal berkaitan, Kerajaan Negeri akan membangunkan sistem baharu berkaitan perumahan iaitu Sistem Maklumat Perumahan yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini,” katanya.
Sistem pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam yang cekap dan efektif akan terus diberikan penekanan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan awam serta kualiti alam sekitar negeri ini.
Oleh itu kata Tun Juhar, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan terhadap perancangan untuk membina baharu dan menaik taraf tapak-tapak pelupusan sampah serta usaha memanjangkan jangka hayat tapak-tapak pelupusan sampah berkenaan.
“Inisiatif untuk mengurangkan sampah juga akan diperkasa dengan penyediaan Cabin Collector Center 3R, Food Waste Composter dan Pusat Lestari kepada PBT. Selaras dengan penggubalan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam 2022, Kerajaan Negeri akan menyediakan draf peraturan-peraturan kepada enakmen tersebut agar pemakaiannya dapat dikuatkuasakan tahun ini.”
Dalam aspek perancangan pembangunan guna tanah Tun Juhar berkata, tumpuan akan terus diberikan dalam penyediaan Pelan Tempatan bagi membantu Kerajaan Negeri khususnya PBT untuk merangka hala tuju strategik pembangunan kawasan bandar dan luar bandar. Untuk tahun 2023.
“Kerajaan Negeri menyasarkan pelaksanaan sebanyak empat Pelan Tempatan baharu iaitu Pelan Tempatan Kota Belud, Pelan Tempatan Tenom, Pelan Tempatan Nabawan dan Pelan Tempatan Kimanis,” ujarnya.































