KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memperkasa sistem pentadbiran tanah di negeri ini agar lebih cekap dan efisien.
Ini selari dengan matlamat dan hala tuju dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Tahun lalu, satu pangkalan data berdigit bagi utiliti-utiliti bawah tanah seperti kabel telekomunikasi, paip-paip air dan saluran pembetungan telah mula dibangunkan oleh Kerajaan Negeri.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, ini akan memudahkan perolehan maklumat utiliti-utiliti bawah tanah untuk tujuan perancangan dan pembangunan tanah.
“Selain itu, aplikasi-aplikasi atas talian seperti e-LandDev yang membolehkan urusan tukar syarat guna tanah dan perlanjutan tempoh pajakan serta e-Land Enquiry yang membolehkan permohonan penyiasatan tanah dibuat secara atas talian telah ditambah baik untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pemilik-pemilik tanah,” katanya.
Kerajaan Negeri juga akan terus memberi keutamaan kepada pemberian tanah Anak Negeri dan pewartaan Tanah Rizab untuk Perkampungan Anak Negeri.
Tun Juhar berkata, tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan pengukuran 7,531 Lot Tanah Anak Negeri dengan jumlah keluasan 16,593.20 hektar dan mewartakan 76 buah Tanah Simpanan Perkampungan Anak Negeri di bawah Seksyen 8, Ordinan Tanah Sabah seluas 1,335.47 hektar.
“Untuk tahun 2023, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengukur sekurang-kurangnya 7,500 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 15,000 hektar dan mewartakan 75 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Anak Negeri,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.
Menyentuh mengenai kadar kemiskinan di Sabah pula, Tun Juhar berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mengatasi dan membasminya melalui pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan.
Selain daripada program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini katanya, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, sedang giat melaksanakan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk membasmi miskin tegar dengan menggerakkan kekuatan bersepadu sektor awam, swasta dan komuniti. Kerajaan Negeri juga sedang melaksanakan program pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ untuk meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan rumah mampu milik khususnya kepada golongan miskin tegar.
“Pada masa yang sama, usaha untuk meningkatkan infrastruktur dan utiliti di luar bandar akan terus diperkasa melalui program-program yang telah diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) seperti projek-projek pembangunan bina baharu dan baik pulih jalan raya, jambatan, balai raya, sistem perparitan dan pembetungan di kawasan kampung, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA).
“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri tetap mengambil berat dan amat prihatin akan keadaan hidup seluruh rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kategori B40. Untuk itu, pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan beberapa program bantuan pendidikan di bawah Pelan Pembangunan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang terbukti telah memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40.
“Sebagai tambahan, pada tahun ini juga dua lagi inisiatif bantuan pendidikan baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).”
Selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk membudayakan masyarakat prihatin dan merakyatkan perkhidmatan yang cemerlang, Kerajaan Negeri kekal komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Tun Juhar berkata, pelbagai inisiatif dan program yang merupakan flagships di bawah Pelan Pembangunan SMJ yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan pada tahun 2023. Antaranya, Program Homeward untuk menyantuni rakyat dalam kategori sakit terlantar, Program Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) untuk memberi pendidikan awal kepada kanak- kanak di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan Pra- Sekolah dan Tadika serta Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40.
Di samping itu, Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan pelaksanaan projek pembinaan Kompleks Bersepadu OKU dan Warga Emas Inanam yang dijangkakan siap pada awal tahun 2025.
“Kerajaan Negeri juga telah membangunkan Sistem Sabah Social Time Bank yang memberi mata ganjaran iaitu credit hours untuk pertukaran dengan item- item yang ditawarkan. Ini bertujuan untuk merekod penglibatan sukarelawan sepanjang hayat dan menggalakkan penglibatan lebih ramai sukarelawan di kalangan anggota masyarakat, agensi Kerajaan dan agensi swasta dalam melaksanakan perkhidmatan sosial. Sistem ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Julai 2023.
“Sebagai tambahan, dua lagi inisiatif baharu untuk menyantuni masyarakat akan dilaksanakan iaitu Program Santuni Komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan penghasilan dan penjualan produk oleh usahawan ibu tunggal dan wanita B40 dan Produk Pek Makanan Segera yang bertujuan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa bencana alam yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara,” katanya.
Kerajaan Negeri komited meneruskan usaha untuk memastikan kawasan terlindung sepenuhnya (Totally Protected Area) di negeri ini adalah mencukupi untuk tujuan perlindungan dan peningkatan perkhidmatan alam sekitar.
Ini selaras dengan usaha untuk menangani isu perubahan iklim, merealisasikan agenda teknologi hijau dan sumbangan negeri Sabah kepada komitmen negara di Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).
Tun Juhar berkata, usaha-usaha pemulihan hutan akan terus menjadi fokus pembangunan negeri Sabah seiring dengan hala tuju Kelestarian Hijau di bawah Pelan Pembangunan SMJ.
“Kerajaan Negeri telah merancang pelbagai inisiatif melibatkan aktiviti-aktiviti pemulihan hutan termasuk rawatan silvikultur seluas 5,000 hektar dan tanaman mengaya seluas 1,000 hektar di kawasan hutan terosot setiap tahun serta program restorasi dan pemuliharaan Hutan Simpan Bakau di persisiran pantai di Sabah.
“Pembangunan industri perhutanan akan dipergiatkan melalui pembangunan ladang hutan selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022 – 2036) yang akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Pembangunan sektor rekreasi hutan dan ekopelancongan akan dimantapkan lagi melalui pembinaan baharu dan menaik taraf pusat-pusat sejadi sedia ada untuk keselesaan serta menampung keperluan pengunjung. Aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) air mineral dalam hutan simpan juga turut dilaksanakan.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Projek Pembangunan Pangkalan Data dan Teknologi Geospatial Sumber Hutan Sabah sebagai usaha untuk mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dalam pengurusan sumber hutan,” katanya.































