Masiung Banah
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, percaturan ‘siapa bakal’ dinamakan Ketua Menteri Sabah merupakan sentimen paling kuat meyakinkan pengundi pada Pilihan Raya Umum Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.
Katanya, faktor pemimpin nombor satu yang bakal mengetuai kerajaan Sabah merupakan solusi politik yang lebih dekat dihati rakyat, demikian pandangan.
“Walaupun landskap politik tempatan sentiasa diulit pelbagai isu semasa, namun kecenderungan rakyat lebih melihat siapa calon popular yang akan menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, walaupun Gagasan Rakyat dinaungi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri dari enam parti tempatan yang mempunyi ramai tokoh, namun beliau membayangkan Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor akan kekal mengetuai kempen PRN17 nanti.
Selain Gagasan Rakyat, GRS turut dianggotai parti-parti tempatan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Liberal Democratic Party (LDP).
Masiung berkata, gabungan terbaru pembangkang Sabah sekarang yang diterajui Parti Warisan, UMNO Sabah dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) harus diihormati kerana parti-parti berkenaan juga mempunyi penyokong tersendiri.
“Meskipun kalangan penganalisis politik menilai sambutan ke tiga-tiga parti itu sekarang agak perlahan ekoran terpalit dengan kegagalan menjatuhkan Kerajaan GRS pimpinan Hajiji, tetapi ia tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata, Gagasan Rakyat pimpinan Ketua Menteri sekarang mendapat sambutan luar biasa, tetapi ia tidak bermakna jika sekiranya parti gabungan dalam GRS tidak sepakat dalam membuat keputusan.
“Percubaan menjatuhkan Hajiji yang berlaku di Sabah baru-baru ini dianggap satu proses pembersihan di kalangan pemimpin yang tidak sehaluan dalam politik.
“Selepas berlaku air bah, sudah tentu pasir akan berubah menjadi landai dan bersih daripada sampah sarap,” tegas Masiung.
Pemimpin berusia 51 tahun itu turut menghadiri Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur pada 14 Mei yang telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berlepas ke Singapura untuk lawatan kerja selama dua hari.































