Zainon Haji Kayum Khan
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mahu Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan naratif perkauman dan extremism agama untuk menarik sokongan rakyat yang boleh menggugat keharmonian dan kestabilan politik negara.
Selain itu, pembangunan wanita di kawasan luar bandar Sabah juga perlu diberikan tumpuan.
Ketua Wanita PBRS, Zainon Haji Kayum Khan menekankan dua perkara utama ini ketika berucap pada Ruang Bicara Wanita sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang diadakan 14 Mei lalu.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan Pusat Wanita di setiap kawasan Parlimen agar pendidikan dan latihan untuk meningkatkan ekonomi dan pemerkasaan wanita dapat dibuat secara berterusan dan berkesan.
“Fasiliti ini pastinya akan membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Wanita PBRS mendukung usaha dalam membangunkan Malaysia sebagai Negara MADANI dan ianya juga adalah menjadi tanggungjawab semua individu dan masyarakat.
“Semoga usaha pimpiinan Kerajaan Perpaduan dalam mengangkat agenda rakyat akan tercapai dengan jayanya,” ujarnya.































