KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan malam tadi pulih sepenuhnya pada jam 10.06 malam semalam.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerosakan teknikal pepasangan di salah satu Pencawang Masuk Utama milik SESB menyebabkan beberapa janakuasa utama terpelantik dan seterusnya mengakibatkan sistem Grid Sabah kehilangan kapasiti 200MW.
Lanjutan daripada itu, pemulihan bekalan dilakukan secara berperingkat bermula dari jam 8.00 malam dan siasatan terhadap punca kerosakan masih dilakukan.
SESB memohon maaf atas segala kesulitan dialami pengguna semasa gangguan bekalan elektrik dan sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian SESB Careline di 15454.































