Aiman Athirah Sabu (tengah) bersama penerima bantuan makanan dalam kalangan komuniti setempat pada Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 di Asrama Akhlak (L) Kempas, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan cadangan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak mampu direalisasikan seawal 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, pihak kementerian kini dalam proses kajian penstrukturan dan penyusunan semula operasi membabitkan agensi dan jabatan di bawah KPWKW.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi membolehkan kementerian mendapatkan bajet khusus pelaksanaan jabatan itu di peringkat awal.
“Perkara ini masih dalam peringkat fasa awal dan insya-Allah, kita yakin dan percaya pada 2026, jabatan ini boleh beroperasi sebagai agensi yang berdiri di bawah kementerian.
“Jadi doakan kami, saya yakin dan percaya ini adalah hasrat semua orang untuk melihat satu agensi Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ini dapat diwujudkan dengan berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran Yayasan Petronas Asrama Akhlak (L) Kempas, di sini Jumaat. Turut hadir Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Anita Azrina Abdul Aziz.
Februari lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, KPWKM bercadang untuk menubuhkan Jabatan Kanak-Kanak bagi menangani isu kanak-kanak termasuk jenayah terhadap mereka termasuk melibatkan isu penderaan dan pengabaian.
Menterinya berkata, sebelum ini, kementerian itu sudah mencadangkan perkara itu kepada Kabinet, namun ia ditolak kerana membabitkan peruntukan yang terlalu besar.
Nancy dilaporkan berkata, penubuhan jabatan itu sudah dipersetujui secara prinsipal oleh Kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah memberitahu, sudah sampai masanya untuk negara memberikan perhatian kepada keselamatan kanak-kanak seperti yang termaktub di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak sehingga membawa maut meningkat sebanyak 200 peratus. Jumlah itu meningkat daripada 24 kes pada 2021 kepada 74 kes pada tahun lalu.
“Sebab itulah kita di peringkat kementerian fokus kami jelas dan konsisten untuk menubuhkan segera Jabatan Pembangunan Kanak-kanak supaya kita boleh memberi perhatian yang lebih berstruktur terhadap isu terkait kanak-kanak ini.
“Kita akan memastikan pelaksanaan terhadap Akta Kanak-kanak ini tidak terabai dan tidak akan terlepas pandang dari apa sudut sekali pun,” ujarnya.





























