Yong memegang salinan jawapan Arkib Negara Australia yang mengandungi alasan diberikan untuk menahan sebahagian daripada laporan nahas udara Double Six.
KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia secara rasmi dan segera perlu meminta kerajaan Australia untuk mengeluarkan laporan penuh mereka (Australia) mengenai nahas udara ‘Double Six’, kata mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee.
Katanya, ini kerana alasan yang diberikan oleh Arkib Negara Australia dalam menahan penerbitan laporan penuh adalah bahawa “Pelepasan maklumat dijangka boleh mengakibatkan kerosakan kepada hubungan antarabangsa Komanwel” (Australia). Alasan lain yang dinyatakan oleh Arkib Negara Australia ialah “Malaysia masih belum mengeluarkan laporan akhir dan penuh siasatan mereka secara terbuka.”
Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai “Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976”.
“Dalam dua balasan kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia telah menyatakan bahawa “rekod mereka mengandungi butiran teknikal” “yang boleh memberi kesan kepada hubungan semasa Komanwel (Australia) dengan sebuah kerajaan negara asing.” Dalam kes ini, negara asing itu bermakna Malaysia dan bukan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan mesti diterbitkan sepenuhnya
Selanjutnya, kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya, kata Yong, sambil menambah, ini kerana Arkib Negara Australia juga telah mendedahkan bahawa “bahagian tertentu teks telah dihapuskan” (iaitu, dipadamkan).
“Balasan daripada Arkib Australia mendedahkan bahawa sejumlah 110 folio ditahan daripada diterbitkan. Setiap folio mengandungi lebih daripada satu halaman.
“Hanya pelepasan laporan penuh, di Malaysia dan Australia, boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan ini,” kata Yong.































