FLORIDA: Penyanyi rap, Tekashi 69 cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki di sebuah gimnasium dekat sini, semalam.
Menurut Utusan Abc News, insiden terbabit disahkan Polis Palm Beach menerusi satu hantaran di media sosial baru-baru ini.
Tekashi atau nama sebenarnya, Daniel Hernandez dirawat di sebuah hospital di Florida susulan kejadian berkenaan.
Motif serangan belum dikenal pasti dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Dalam perkembangan sama, peguam penyanyi rap berkenaan, Lance Lazzaro, memaklumkan anak guamnya diserang kira-kira tiga hingga empat orang lelaki ketika beristirehat di dalam sauna.
Tekashi yang terkenal dengan penampilan rambut berwarna pelangi pernah dipenjara atas kesalahan menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap sebagai pembunuh upahan peribadi.