Arifin (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang lagu nasyid berkumpulan.
KOTA KINABALU: Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Bandaraya (KK I-Fest 2023) disyor sebagai acara tahunan bagi memartabatkan kesenian Islam sejagat.
Bercakap kepada media, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, syor tersebut adalah berdasarkan kejayaan penganjuran festival itu yang dilihat mampu menyemarakkan nilai-nilai dakwah melalui perkongsian ilmu para tokoh-tokoh yang diundang penganjur, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Program ini dilihat mampu memartabatkan seni budaya Islam dalam menyemarakkan nilai-nilai dakwah melalui acara-acara yang diadakan seperti pertandingan khat, pertandingan nasyid, pertandingan lagu-lagu dakwah selain pameran-pameran berunsur keislaman.
“Selain itu,aktiviti seperti forum dan perkongsian ilmu yang mengetengahkan tokoh-tokoh terkenal dalam dakwah Islam berjaya menyemarakkan nilai-nilai dakwah melalui seni dan budaya dalam kehidupan masyarakat.
“Tahniah kepada DBKK atas kejayaan penganjuran KK I-Fest ini dan saya berharap agar program tersebut akan menjadi acara tahunan di peringkat Bandaraya Kota Kinabalu,” syor beliau kepada DBKK selepas merasmikan Majlis Penutupan KK I-Fest di Padang Bandaran dekat sini, pada Ahad malam.
Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang Alip menyambut baik saranan Arifin dan kerajaan negeri untuk menjadikan KK I-Fest sebagai acara tahunan dengan meneroka lebih mendalam bidang seni Islam selain memperkenalkan lebih banyak aktiviti-aktiviti berunsur keislaman.
Turut hadir, Pengerusi Baitulmal Sabah, Datuk Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia ke Sabah, Rafail Walangitan.





























