Dr. Joachim (tengah), Pairin (sembilan dari kiri) bersama Biro Politik Parti Bersatu Sabah melaungkan laungan keramat ‘Bersatu’ selepas upacara memotong kek sempena Majlis sambutan ulang tahun ke-38.
PENAMPANG: Para pemimpin dan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu menjadikan kesilapan lalu sebagai pembimbing untuk menjadi lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, di samping itu, mereka juga perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa.
“Kita harus memberi tumpuan untuk meningkatkan semangat perjuangan kita, seperti mana kita berjuang pada tahun 1985.
“Kita juga perlu lebih kelihatan menarik di mata generasi muda so they feel welcome. Kita tidak perlu takut kepada mereka. We should not feel threatened kerana mereka adalah our future, asset perjuangan kita,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun PBS ke-38 di ITCC Penampang, di sini, malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Presiden PBS.

Dr. Maximus Ongkili
Dr. Maximus berkata, perjuangan PBS belum selesai kerana masih banyak tugas yang perlu dipenuhi.
“Tetapi PBS adalah parti yang mempunyai objektif yang kukuh dan konsisten serta gigih menyuarakan pendapat untuk kebaikan negeri Sabah dan rakyat negeri ini.
“Pilihan Raya Umum Ke-14 dan 15 menjadi pengajaran kepada semua parti politik, dan PBS khususnya. Kita menyedari bahawa walaupun telah berkuasa selama beberapa dekad, ia tidak menjamin kemenangan mutlak sesebuah parti.
“PBS tidak boleh berpuas hati dengan sokongan sedia ada, budaya malas bukanlah pilihan. Rakyat melihat, mereka menilai kita, dan mereka lebih kritikal berbanding sebelum ini. We are under their watch at all times,” tegasnya.
PBS adalah parti bermaruah
Dr. Maximus berkata, dalam politik, prinsip amat penting, maruah dan saling menghormati antara satu sama lain merapatkan semua.
“Perpaduan ini tidak akan pernah putus. Kita akan kekal bersatu, bukan hanya untuk kebaikan PBS dan ahli-ahlinya, tetapi juga akar umbi yang percaya kepada kita, terutama rakyat Sabah,” katanya.
Menyentuh mengenai perjuangan PBS, beliau berkata, parti tidak boleh setakat mengenang kehebatan lalu, kerana perjuangan yang dimulakan pemimpin terdahulu harus diteruskan demi kelangsungan PBS.
“Kita perlu buka mata dan hati, berwaspada dan berfikir di luar kotak, terutama pada saat ini apabila kita berhadapan dengan rintangan yang sukar. Kita mesti ubah mentaliti rakyat bahawa parti ini sudah tua dan lama. PBS masih berdiri teguh walaupun telah tiga dekad lamanya, dan kita perlu memastikan bahawa PBS akan terus kekal relevan.
“Suntikan darah baharu dalam PBS akan memastikan kelestarian parti. Kita mesti bekerja keras untuk memikat golongan muda untuk menyertai parti kita, pastikan mereka lebih memahami perjuangan PBS dan berkongsi ideologi kita.
“Perjuangan kita adalah mulia dan PBS harus meneruskan perjuangannya demi kebaikan semua pihak,” tegas beliau lagi.
Bagi memastikan PBS mempunyai suara yang lebih lantang, katanya, mereka memerlukan para pejuang PBS dari pelbagai peringkat, termasuklah peringkat akar umbi.
“Kita harus bergerak aktif dan menjangkau sebanyak mungkin lapisan masyarat dalam usaha mendapatkan ahli-ahli baru. Kita bukan sahaja mahu masyarakat setempat berkongsi perjuangan dan visi PBS, tetapi juga memahami logik di sebalik setiap keputusan atau tindakan yang diambil oleh pihak kepimpinan.
“Kita harus bergerak secara proaktif dan menghasilkan ahli-ahli PBS yang berkualiti. Tidak ada gunanya jika kita mempunyai bilangan ahli yang ramai tetapi mereka tidak mempunyai kualiti. Kita mesti berkongsi dengan mereka makna kesetiaan, daya tahan dan bersatu padu,” katanya.
Turut hadir Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian, serta para pemimpin lain.





























