Jamain Sarudin
KOTA KINABALU: Kestabilan Kerajaan Negeri Sabah perlu dikekalkan sehingga penggal ke-16 Sabah tamat bagi memberi peluang kepada Kerajaan merealisasikan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) menjelang tahun 2025.
Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jamain Sarudin berkata, ribut dalam cawan telahpun reda apabila Ketua Menteri menyusun semula pentadbiran negeri termasuk merombak Kabinet pada 11 Januari.
“Masa ini bukan masa berpolitik, tetapi masa bekerja untuk menunaikan janji-janji pilihan raya negeri pada September 2020.
“Kerajaan di bawa pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berada pada landasan betul, seperti mana dibuktikan menerusi kutipan hasil negeri pada tahun 2022 yang berjumlah RM6.97 bilion.
“Era kepemimpinan negeri masa ini bukan sahaja memastikan isu-isu tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan, akan tetapi juga merealisasikannya. Salah satu pencapaian Kerajaan hari ini ialah apabila Geran Khas Persekutuan meningkat berkali ganda, yang mana untuk tahun 2023 berjumlah RM260 juta, dan dijangka akan terus meningkat menjelang tahun 2026, apabila formula pengiraan dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jamain yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri turut mencadangkan pada mana-mana pihak untuk memberi kepercayaan pada kepemimpinan negeri untuk terus mengurus negeri tanpa gangguan atau campur tangan.































