Rina memerhatikan kerja penyemburan pembunuh jentik-jentik jenis ABATE di kawasan terlibat.
TAWAU: Pejabat ADUN N70 Kukusan mengambil langkah drastik menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi mengekang penularan wabak denggi berikutan peningkatan kes tersebut di Tawau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, jawatankuasa yang dikenali sebagai Task Force Kukusan Cegah Denggi itu membabitkan pihaknya bersama agensi-agensi kerajaan, persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat sekitar Kukusan.
Antara agensi kerajaan yang terlibat adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (Pejabat Kesihatan Daerah Tawau), Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Perpaduan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut Rina, pihaknya menjadi koordinator yang akan menghubungkan agensi kerajaan dengan penduduk dan NGO seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Belia Tempur Harapan dan Skuad Wanita Harapan.
“Terdahulu, saya dimaklumkan mengenai kes denggi yang dilaporkan berlaku termasuk di Mukim Kukusan.
“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Tawau sehingga 24 Januari lalu, sebanyak 142 kes denggi dilaporkan seluruh Tawau dan Kalabakan membabitkan 16 wabak aktif.
“Daripada 16 wabak aktif ketika itu, 10 daripada wabak terkawal, empat lagi wabak tidak terkawal dan dua kawasan hotspot,” kata Rina.
Menurutnya, satu daripada kawasan hotspot terletak di kawasan Kukusan iaitu Taman Victoria. Dalam masa sama beberapa kawasan lain di Kukusan seperti Taman Uni Villa, Jalan Mawar Kampung Jawa dan Ambar Park turut dilaporkan berlakunya kes denggi.
“Biarpun kawasan wabak Taman Victoria telah tamat pada 26 Januari lalu, kami mengambil inisiatif menganjurkan program Gotong Royong Perdana Kukusan Cegah Denggi di taman berkenaan.
“Dianggarkan lebih 100 orang terlibat membabitkan KKM, MPT, kakitangan Pejabat ADUN N70 Kukusan, KRT Taman Uni Villa, guru dan pelajar Kolej Vokasional Tawau, Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Skuad Wanita Harapan dan Belia Tempur Harapan,” katanya.
Kerja gotong royong bermula seawal jam 7.30 pagi menyaksikan pembahagian kawasan pembersihan. Kerja pembersihan membabitkan longkang, kawasan rumah penduduk, tapak kebun, kawasan rekreasi dan Tabika Perpaduan di Taman Victoria.
Pihak KKM turut mendapati beberapa longkang tersumbat ekoran kerja ubah suai ‘driveway’ kediaman penduduk menyebabkan air hujan bertakung.
Keadaan ini telah menyumbang kepada pembiakan jentik-jentik berlaku. Sehubungan itu KKM telah mengambil inisiatif melakukan semburan pembunuh jentik-jentik jenis ABATE.
Semburan turut dilakukan pada saluran air hujan yang didapati menakung air.
Program Gotong Royong Perdana Kukusan Cegah Denggi ini akan dilakukan secara berkala membabitkan kawasan-kawasan sekitar Kukusan dalam tempoh tiga bulan sehingga Jun depan.
Menurut Rina, pihaknya berharap agar program seperti ini menjadi ikutan di tempat lain khususnya kawasan hotspot di Tawau dalam usaha membanteras denggi.
Dalam pada itu, Rina turut mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti KKM, MPT, APM dan Jabatan Perpaduan kerana memberi kerjasama dan panduan yang baik kepada pihaknya dalam merealisasikan program gotong royong berkenaan.
Setinggi penghargaan turut diucapkan kepada pihak Kolej Vokasional Tawau, KRT Taman Victoria, penduduk dan NGO yang terlibat dalam program kali ini.
Sementara itu, Rina yang juga Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menggesa orang ramai memantau saluran paip air hujan dan tempat penapis air di kediaman masing-masing.
Dalam program Gotong Royong Perdana Kukusan Cegah Denggi di Taman Victoria, Ahad lalu, beliau mendapati ia menjadi lokasi pembiakan jentik-jentik dipercayai nyamuk Aedes.
“Saya melihat saluran paip air hujan (pancuran) di beberapa kediaman penduduk telah dipenuhi dengan tumbuhan dan rumput.
“Ia menyebabkan saluran air hujan itu sumbat dan boleh menyebabkan air bertakung di situ.
“Umum mengetahui takungan air jernih berkenaan menjadi lokasi pembiakan jentik-jentik sekali gus boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk dan denggi berlaku,” katanya.
Selain itu, orang ramai juga diminta kerap membersihkan bekas takungan air pada mesin penapis air di rumah selain meminta pihak berkaitan memastikan perkara tersebut ketika kerja ‘servis’ dilakukan.
Menerusi mesyuarat Task Force Kukusan Cegah Denggi anjuran Pejabat ADUN N70 Kukusan bersama agensi kerajaan dan NGO, Pejabat Kesihatan Daerah Tawau memaklumkan bahawa terdapat kes berlakunya pembiakan nyamuk dan jentik-jentik di bekas takungan air berkenaan.
“Justeru, saya meminta agar orang ramai peka dan membersihkan dua lokasi ini selain memantau di lokasi biasa seperti kolam tadahan, tangki air, pasu dan sebagainya.
“Selain itu, masalah ubah suai rumah khususnya di kawasan pagar masuk ke kediaman juga dikesan menyebabkan longkang tersumbat dan air bertakung.
“Seharusnya penduduk perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak menutup laluan ‘driveway’ di hadapan rumah dengan binaan kekal bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan secara berkala dan tidak menyebabkan air bertakung.
“Diharapkan semua penduduk memainkan peranan. Ini kerana bagi satu kawasan pembiakan nyamuk Aedes, ia boleh mendatangkan risiko kepada penduduk dalam radius jarak 200 meter.
“Luangkan masa waktu cuti anda untuk memeriksa dan memantau kawasan persekitaran bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.































