Armizan (dua dari kanan) menyantuni salah seorang penghuni PPS.
KOTA MARUDU: Penggunaan makanan retort wajar diperluaskan terutama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, penyediaan makanan secara retort itu merupakan projek rintis yang pertama diadakan pada tahun ini.
“Penggunaan makanan retort ini merupakan langkah alternatif kepada penyediaan makanan secara konvensional kepada mangsa yang baru tiba di PPS.
“Pendekatan ini amat bersesuaian untuk memastikan makanan dapat disediakan dengan kadar segera selain terjamin dari segi kebersihan, keselamatan dan khasiat.
“Malah, kita juga mendapat maklum balas yang positif terhadap penggunaan ini walaupun masih terdapat beberapa perkara yang boleh ditambah baik.
“Sehubungan itu, saya melihat wujud keperluan agar penggunaan makanan retort sebagai makanan pertama mangsa yang baru tiba di PPS wajar diperluaskan di Sabah,” ujarnya kepada media selepas meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Armizan turut menekankan keperluan untuk menambah baik PPS di Sabah terutamanya yang terletak di kawasan hotspot.
“Buat masa sekarang, kebanyakan PPS dibuka di sekolah dan dewan-dewan yang mempunyai kekangan tersediri.
“Oleh itu, saya melihat adanya keperluan untuk membina pusat pemindahan khusus bagi kawasan yang sering dilanda bencana banjir seperti Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.
“Kerajaan secara asasnya bersetuju dengan cadangan pembinaan pusat pemindahan khusus ini dan perinciannya akan diteliti dengan lebih lanjut,” tambah beliau.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrum Bahanda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Hendrus Anding dan Pegawai Daerah, Alexander Yong.
PPS SMK Tandek mula beroperasi pada 25 Januari lalu dan menempatkan 1,361 mangsa dari lapan buah kampung yang terlibat dengan bencana banjir.































