Lee Zii Jia
PETALING JAYA: Prestasi Lee Zii Jia semakin membimbangkan apabila jaguh perseorangan negara itu tersingkir awal dalam kejohanan ketiga berturut-turut, kali ini tumpas di pusingan kedua badminton Indonesia Masters, malam tadi.
Selepas kandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia awal bulan ini, diikuti kekalahan pada pusingan kedua Terbuka India minggu lalu, pemain Hong Kong, Ng Ka Long menambah derita perseorangan negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Zii Jia, 24, yang baru mengalami penurunan ranking dunia dengan jatuh dua anak tangga ke kedudukan keempat Rabu tumpas 21-16, 20-22, 13-21 dalam tempoh 65 minit di Jakarta.
Ketika kelayakan Sukan Olimpik 2024 sudah semakin hampir, bekas juara All England itu jelas perlu melakukan sesuatu dalam kariernya jika enggan terus merudum.
Zii Jia masih tidak mempunyai jurulatih sejak berpisah dengan individu yang membantunya muncul juara Asia, Indra Wijaya, November lalu.
Kekalahan Zii Jia itu bermakna Malaysia tidak mempunyai wakil dalam perseorangan lelaki selepas Ng Tze Yong terlebih dulu ditunjukkan jalan keluar oleh pemain India, Lakshya Sen.
Tze Yong tewas 21-19, 8-21, 17-21 dalam masa 61 minit, sekali gus gagal melunaskan dendam terhadap pemain yang menewaskannya di final Sukan Komanwel Birmingham 2022.





























