Dr. Jeffrey (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir dalam upacara tersebut.
KOTA KINABALU: “Moyang saya seorang yang tegas, beliau bertekad berjuang untuk hak-hak orang tempatan”.
Demikian luahan wakil kepada bekas tawanan dan mangsa Perang Petagas 1944, Benedict Leo Stephens dalam Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas 2023 di Taman Peringatan Petagas.
“Moyang saya, Jules Stephens berpangkat Sarjan dalam Kinabalu Volunteer Force iaitu sebahagian daripada Pasukan Gerila Kinabalu merupakan salah seorang yang terlibat dengan revolusi menentang Jepun pada 10 Oktober 1944.

Benedict ketika ditemui media.
“Beliau dihukum bunuh di sini ketika menjadi tawanan perang antara tahun 1941 hingga 1942.
“Keberanian beliau dalam perjuangan menentang tentera Jepun membawa kesan yang mendalam dalam keluarga kami, tidak ada perjuangan yang lebih berbaloi selain mempertahankan negara dari penjajahan,” tambahnya.
Pada upacara tersebut, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan mendahului upacara meletakkan kalungan bunga mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Diadakan pada setiap 21 Januari setiap tahun, upacara tersebut bertujuan mengenang para pejuang Pasukan Gerila Kinabalu yang terkorban menentang pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Sabah.
Turut meletakkan kalungan bunga, Timbalan Ketua Pengarah Kewangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong mewakili Mayor DBKK, Komander Artileri Divisyen, 5 Divisyen, Kolonel Mohd Imran Ibrahim, Tuan Yang Terutama Konsulat Jeneral Republik Rakyat China (Kota Kinabalu), Honourable Huang Shifang, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Datuk Thomas Logijin dan Patrick Liau Ngau mewakili Setiausaha Persekutuan Sabah.































