Dr. Yusof Yacob
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob meluahkan rasa kecewa dan malu dengan tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa pemimpin UMNO Sabah yang disifatkannya amat menjatuhkan imej parti.
“Saya kecewa dan malu dengan tindakan ini, Bung dan beberapa orang pemimpin-pemimpin UMNO Sabah.
“Sebagai penyokong UMNO, ini amat menjatuhkan imej UMNO di kaca mata rakyat Sabah dan dari luar.
“Kita mahu memulihkan UMNO yang sudah terjejas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)…sekarang bertambah parah.
“Pemimpin UMNO Sabah kini dinilai sebagai ‘troublemaker (pencetus masalah)’.
Inilah jadinya kalau kita angkat pemimpin yang bermasalah dan kurang waras dan tidak memikir kesan dan akibat bila buat tindakan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tentang sidang media oleh Bung semalam yang mengumumkan kerjasama di antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbatal.
Menurut Dr. Yusof, tindakan ini amat memalukan dan dapat cemuhan rakyat.
“Alasan Bung bahawa beliau tidak dibawa berunding untuk rombakan Kabinet Negeri Sabah tidak wajar kerana tindakan ini bermula dari beliau juga.
“Kenapa tidak berunding dengan Hajiji kalau mahu bekerjasama dengan Warisan.
Tindakan Bung adalah coup d’etat atau tindakan rampas kuasa atau tebuk atap.
“Sekarang tindakan Bung merampas kuasa bergabung dengan Warisan telah gagal pada 5 Januari dan cuba lagi kelmarin kerana tidak cukup bilangan…gagal kali kedua.
“Sepatutnya Bung letak jawatan kerana gagal rampas kuasa.
“Sudah tentu Hajiji ambil tindakan untuk memecat pengkhianat begini. Ini reaksi logik dan membersihkan imej kerajaan.
“Kalau di Arab Saudi, tindakan begini adalah hukum bunuh pancung, kalau di China, hukum bunuh tembak,” tegasnya.
Dr. Yusof berkata, tindakan tersebut turut menimbulkan kemarahan neitizen, rakyat.
“Rakyat bukan mahu tukar kerajaan. Tapi rakyat mahu kerajaaan stabil, harga barang turun, ekonomi baik, peluang pekerjaan dan lain-lain. Rakyat sudah penat dengan politik ini. Pemimpin-pemimpin sudah penat dengan percaturan politik ini.
“Pegawai Kerajaan sudah penat. Pelabur dan peniaga semakin takut dengan cubaan rampas kuasa begini. Sepatutnya tunggulah pilihan raya negeri (PRN) akan datang…habiskan dahulu penggal ini sehingga 2025.
“Arahan Yang di-Pertuan Agong pun sama supaya jangan berpolitik, supaya kerajaan perpaduan. Agong suruh fokus setabilkan negara. Perdana Menteri pun arah jangan buat perkara yang membuat politik tidak stabil. PM arah suruh hentikan aktiviti begini,” katanya.
Dr. Yusof mendedahkan beliau telah memberikan pandangan dan sudah menasihati Bung pada 1 Januari, dan pada 5 Januari dan 6 Januari supaya jangan berbuat demikian, jangan teruskan bila dia mula buat gerakan rampas kuasa kerana beliau tahu ianya tidak akan berjaya dan merosakkan UMNO.
“Rakyat keseluruhannya, kakitangan awam dan masyarakat peniaga tidak menyokong tindakan ini.
“Saya tidak tahu apa lagi yang Bung mahu. Dia sudah Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya. Perdana Menteri juga telah memberi kuasa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk merancang dan mengatur projek-projek bernilai RM50 juta ke bawah yang di bawah kuasa Kementerian Kerja Raya.
“Kita tunggu lah. Tentu rakyat juga menilai karekter dan cara pemimpin-pemimpin kita di Sabah ini,” katanya.































