KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berasa amat kesal melihat Sabah sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik yang sepatutnya tidak berlaku.
“Seharusnya focus utama kita adalah memastikan matlamat perjuangan kita membantu rakyat dan membangun ekonomi serta bersama-sama berusaha untuk memastikan perjuangan MA63 direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri.
“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara “pintu belakang”.
“Pada masa yang sama, kami tidak bersetuju untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sekiranya kemelut ini terus berterusan dan kedudukan DUN buat masa ini terus tergantung (Hung State Assembly),” kata tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Sabah dalam kenyataan bersama hari ini.
Mereka adalah Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Poon Fung Ming (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe
(Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).
Mereka turut mengulangi sokongan kepada Ketua Menteri sedia ada, iaitu Datuk Seri Hajiji Bin Noor yang merupakan ADUN Sulaman.
“Ini adalah selari dengan prinsip kami untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti Langkah Sheraton.
“Susulan sokongan ini, kami bersetuju bahawa satu Kerajaan Perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat persekutuan.
“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” kata mereka.































