Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris untuk mengekalkan cabaran Malaysia terhadap penghakiman timbang tara waris Sulu membuktikan pendirian Kerajaan Negeri selama ini bahawa apa yang dipanggil sebagai tuntutan Sabah tidak mempunyai apa-apa merit.
Mengalu-alukan kemenangan penting itu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, ia mengukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau mengulangi bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), justeru, sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.
“Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan keputusan itu dan berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil semua tindakan sewajarnya untuk menamatkan tuntutan itu untuk selama-lamanya.
“Sabah, melalui Jabatan Peguam Besar Negeri akan terus memainkan peranannya dengan Peguam Negara dalam menangani kes itu,” katanya.
Pada 6 Jun, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis mengekalkan cabaran Malaysia terhadap keputusan Gonzalo Stampa, penimbang tara yang dilantik oleh Mahkamah Sepanyol bagi kes penuntut Sulu, pada 5 Mei 2020 yang dikenali sebagai “partial award”.
Stampa memindahkan timbang tara ke Paris selepas Mahkamah Sepanyol yang sama membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara pada Jun 2021.
Keputusan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu bermakna pampasan AS$14.9 bilion oleh penuntut Sulu, yang merupakan “final award” yang diberikan oleh Stampa selepas memindahkan timbang tara ke Paris pada 28 Feb 2022, tidak boleh dikuatkuasakan terhadap Malaysia.































