Samad Jambri @ Jamri
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah merancang pelbagai strategi untuk mengeluarkan rakyat Sabah daripada kemiskinan.
Pembantu Menterinya, Samad Jambri @ Jamri berkata, antaranya adalah seperti pembinaan lima buah Pusat Kemahiran Masyarakat sebagai pusat pembangunan dan latihan keusahawanan yang bertujuan untuk membantu meningkatkan potensi kemahiran golongan miskin.
Selain itu, katanya, pembinaan lapan buah Pusat Keusahawanan Desa (PKD) yang dilengkapi dengan bangunan bengkel dan peralatan mesin yang bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan usahawan bimbingan KPLBS bagi meningkatkan pengeluaran produk dan mengembangkan perniagaan mereka; program keusahawanan berasaskan pertanian seperti penanaman sacha inchi dan pisang saba dan program penternakan burung walit secara bersasar mengikut keperluan dan kesesuaian di daerah tersebut; dan program kursus kemahiran disediakan kepada masyarakat luar bandar seperti kursus kemahiran jahitan, kraftangan, pemprosesan makanan, tenunan dastar, pembuatan kerepek dan lain-lain yang tujuannya diadakan adalah selaras dengan misi Kementerian untuk mensejahterakan masyarakat luar bandar melalui usaha-usaha pembasmian kemiskinan dan melahirkan usahawan yang berjaya serta dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, pendapatan diri dan keluarga.
“Program Satu Daerah Satu Produk (SDSP) juga merupakan program untuk meningkatkan ekonomi usahawan luar bandar yang dijalankan secara berkelompok atau premis sendiri.
“Program ini telah menggalakkan pengeluaran produk di setiap daerah masing-masing sebagai Flagship produk bagi sesebuah kampung/daerah tersebut,” katanya ketika menjawab soalan daripada Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) yang bertanya kepada Menteri Luar Bandar, apakah strategi kerajaan untuk mengeluarkan rakyat Sabah daripada kepompong kemiskinan.
Samad berkata, Projek MESEJ (Mini Estet Sejahtera) juga adalah antara inisiatif kerajaan Negeri untuk menangani isu kemiskinan di kawasan yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.
Katanya, program ini merupakan pendekatan pembasmian kemiskinan secara holistik meliputi penyediaan perumahan dan komponen ekonomi iaitu perusahaan perladangan dengan tanaman komoditi iaitu kelapa sawit dan getah.
“Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS) adalah berkonsepkan pemberian bantuan rumah yang selesa oleh Kerajaan Negeri kepada golongan penduduk luar bandar yang memerlukan,” ujarnya.































