Julita (empat dari kanan) menerima borang permohonan keahlian baharu dalam AGM PBS Bahagian Melalap, pada Sabtu.
TENOM: Parti Bersatu Sabah (PBS) masih di pentas politik Sabah sehingga kini kerana keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang diasaskan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Julita Majungki.
Tambahnya, PBS masih menjadi sebahagian daripada kerajaan sehingga kini kerana imej parti yang bersih, setiakawan dan boleh dipercayai.
Justeru, beliau menyeru kepimpinan dan penyokong PBS termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap untuk kekal berpegang teguh kepada perjuangan asal PBS yakni untuk membela nasib rakyat dan negeri Sabah.
“Parti telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan tetapi masih berdiri sehingga sekarang ini kerana ianya dikemudi secara berhati-hati. Pada usia 38 tahun ini, PBS menyeru agar lebih ramai anak muda pelapis tampil ke depan, berwawasan dan bersedia untuk belajar gaya kepimpinan dan perjuangan parti.
“PBS pencetus idea menuntut hak negeri seperti 20 Perkara dan hak sama rata sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini termasuklah tuntutan ke atas pemberian balik 40 peratus terhadap pendapatan cukai yang diperolehi dari Sabah dan isu pendatang tanpa izin (PTI).
“Walaupun suara dan pandangan PBS pada masa itu dianggap sebagai penentangan terhadap kerajaan persekutuan tetapi kita gembira kerana akhirkan perjuangan itu membuahkan hasil dalam bentuk kesedaran rakyat dan pemimpin politik negeri Sabah mengenai perkara ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian Melalap, Dewan Datuk OKK Sanggau, Pekan Melalap, Sabtu lalu.
Julita yang juga Pembantu Menteri Kewangan berkata, sesungguhnya perjuangan PBS belum selesai namun parti boleh berpuas hati kerana suara menuntut hak-hak negeri sudah semakin besar dan merebak sehingga ke Sarawak.
“Cabaran sekarang ialah rakyat hilang fokus kerana banyak meminjam dan mengimport budaya luar khususnya politik wang. Undi rakyat boleh dibeli dengan wang ringgit dan dimanipulasi dengan nilai tertentu tanpa memikirkan kesan buruk jangka panjang kepada negeri dan penduduk asal di negeri ini.
“Saya ingin mengajak para pemimpin dan penyokong PBS, khususnya di Melalap agar dapat mengingat perjuangan asal PBS. Kita mesti bertanggungjawab dengan keputusan yang kita buat sekarang demi anak, cucu dan cicit yang belum kelihatan sekarang. Kita ambil bahagian untuk menghentikan ‘penyakit’ ini sebelum terlambat,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong itu.
Beliau turut menyarankan Pergerakan Pemuda dan Wanita untuk meningkatkan program-program kesedaran keusahawanan di kalangan ahli untuk membantu peningkatan dan kemajuan ekonomi setempat.
“Selain itu tingkatkan komunikasi dengan anak-anak muda bagi membina kesedaran politik matang dan bertanggungjawab kalangan pengundi baharu,” katanya.
Hadir sama ialah Naib Presiden PBS, Datuk Daniel Kinsik yang juga selaku Pengerusi Tetap AGM.
Dalam AGM tersebut, Julita telah menerima borang permohonan keahlian baharu PBS Melalap seramai 191 orang.































