Pasukan bomba membawa mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Ihsan Bomba
TENOM: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, PPgB Mohd. Zainal Sinsian berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Tenom-Kemabong pada jam 9.50 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan sembilan anggota diketuai beliau sendiri telah ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 40 kilometer dari BBP itu, kita mendapati sebuah lori treler 10 tan telah terbabas sendiri lalu jatuh ke gaung,” katanya.
Katanya, terdapat dua orang mangsa terlibat di mana seorang mangsa telah dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba dan seorang mangsa lagi berada di luar kenderaan yang terlibat.
Menurut Zainal, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi, dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Maklumat mengenai kedua-dua mangsa tidak diperolehi.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 11.42 pagi,” katanya.































