Malianah merakamkan gambar kenangan bersama dengan Exco Wanita PBS
KOTA KINABALU: Mesyuarat Exco Wanita Parti Bersatu Sabah hari ini telah memutuskan untuk menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri di bawah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan mengalu-alukannya sebagai parti komponen tempatan dalam gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kami menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kerana komitmen beliau terhadap agenda Sabah First memastikan pembangunan sama rata untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, yang selaras dengan fahaman politik PBS,” kata ketuanya, Datin Malianah Ugau
Beliau menambah, sepanjang Hajiji menjadi pemimpin utama negeri, beliau telah menempuh pelbagai cabaran dan gaya kepimpinannya yang tidak tertumpu kepada politik semata-mata telah terbukti berharga bagi Sabah kerana ia membantu dalam memulihkan ekonomi daripada kesan global pasca Covid-19.
Kepercayaan Hajiji bahawa perbuatan lebih baik dari kata-kata dan usaha beliau untuk menstabilkan keadaan politik di Sabah telah menyaksikan negeri ini dapat mencapai pemulihan ekonomi yang luar biasa kerana pada tahun lepas sahaja, Sabah berjaya memperoleh RM33.4 bilion pelaburan asing dan domestik.
Exco Wanita PBS juga menyatakan sokongan padu mereka kepada GRS dan mengharapkan kerjasama erat terutamanya di peringkat akar umbi bagi membawa masuk dan menyatukan lebih ramai rakyat Sabah untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan gabungan itu.































