Suasana pada Majlis Konvensyen Politeknik Kota Kinabalu Ke-27.
KOTA KINABALU: Meraih Anugerah Dekan pada Majlis Konvensyen Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Ke-27, ibarat menang berganda buat anak muda dari Keningau, Muhammad Zulainnor Zulkefli.
Dengan anugerah tersebut, Zulainnor, 27, yang merupakan graduan Diploma Logistik dan Rantaian Bekalan, menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajiannya ke peringkat Ijazah Business Maritime and Logistic Management di The Ship Campus tajaan Yayasan Port Klang Trading (PKT) selama dua tahun.
“Saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini, terima kasih kepada semua tenaga pengajar serta ibu bapa saya.
“Saya berazam untuk menggunakan peluang ini untuk belajar dan bekerja dengan baik kerana memang cita-cita saya untuk bekerja dalam bidang logistik yang menyediakan banyak peluang dalam industri perniagaan,” katanya.
Rakannya, Alia Yasmin Sulhie, 23, dari Miri Sarawak yang turut menerima biasiswa dan , teruja untuk melengkapkan pengajiannya ke peringkat ijazah dan berbakti kepada masyarakat.
“Saya akan belajar sambil bekerja untuk melakukan yang terbaik agar dapat menyumbang sesuatu yang baik kepada masyarakat dan negara,” ujar Alia Yasmin dengan gembira.
Bagaimanapun, suasana di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu bertukar pilu seketika apabila ibu, Hanifah Hamzah, menerima diploma mewakili anak bongsunya, Allahyarhamah Nur Azyan Mardhiah Madzalan.
“Arwah seorang yang manja maklumlah anak bongsu. Arwah meninggal di Hospital Queen Elizabeth pada 29 Oktober tahun lepas selepas seminggu mengalami batuk.
“Walau tak sempat melihat dia menerima diplomanya, saya redha dan berbangga mempunyai anak yang punya keinginan belajar yang tinggi,” katanya dengan mata yang mula bergenang.Majlis konvokesyen dalam dua sesi itu menyaksikan 819 graduan menerima diploma daripada 14 bidang pengajian antaranya Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer), Diploma Pengurusan Hotel dan Diploma Pengurusan Resort.































