Dr. Joachim (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada Pairin (tiga dari kiri)
PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas di semua bahagian parti dan mewujudkan program dan aktiviti yang mampu menarik minat pengundi muda.
Katanya, selepas hampir empat dekad penubuhan, PBS telah melihat perubahan pola pilihan raya amat berbeza jika dibandingkan dengan masa lampau di mana Kerajaan kini meletakkan masa depan negara di tangan mereka yang berusia 18 tahun.
“Mereka kini menjadi sebahagian daripada kumpulan membuat keputusan, menentukan siapa yang terbaik untuk memimpin mereka.
“Keputusan untuk menurunkan umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun mempunyai kebaikan dan keburukannya. Buat masa sekarang, PBS memilih untuk melihat sisi positifnya, kecuali keputusan pendaftaran pengundi secara automatik, yang mana PBS menentang perkara itu di Parlimen.
Dalam menyambut keputusan Kerajaan, PBS telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Pergerakan Belia dan Beliawanis Bersatu (PBBB), dengan mengalu-alukan individu berumur 18 tahun keatas untuk menyertai parti ini. Walaupun PBS adalah parti tempatan tertua di Sabah, namun kita menitikberatkan nafas dan idea baharu.
“Berbekalkan pengalaman dan rekod pencapaian politik dan tadbir urus yang sudah terbukti, we would like to welcome all young blood into the party because PBS is home for everyone. PBS adalah parti politik pelbagai kaum yang mampu memenuhi keperluan golongan muda, mahupun yang lebih senior. Kami mahu memastikan golongan muda selesa dan mempunyai peluang yang adil dan sama rata untukmenyuarakan dan berkongsi pandangan mereka agar golongan ini turut serta memainkan peranan dalam pembinaan negara,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun PBS ke-38 di ITCC Penampang, di sini, malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Presiden PBS.

Dr. Maximus Ongkili
Turut hadir Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian, serta para pemimpin lain.
Menurut Dr. Maximus, PBS sebenarnya bukannya kekurangan pemimpin yang baik.
“Kita mempunyai kombinasi pemimpin muda yang berkelayakan dan golongan veteran yang berpengalaman. Pemimpin senior mampu melatih ahli muda dan baru melalui perkongsian perjuangan teras PBS dan mengapa PBS adalah pilihan terbaik untuk mereka.
“Namun, beringatlah, PBS mesti proaktif dengan perkembangan baharu ini.
“PBS harus merebut peluang ini untuk menonjolkan diri agar intipati perjuangan kita dapat dirasai golongan muda. PBS dan perjuangannya perlu diperkukuhkan dan diuar-uarkan, khususnya kepada golongan muda, yang mungkin hanya mengetahui parti pada dasarnya sahaja.
“Kita perlu lebih aktif memperkenalkan PBS, saya yakin dan percaya, menjelang pilihanraya akan datang, kita tidak akan mempunyai masalah untuk mendapat sokongan individu berusia 18 tahun. Better act now, or feel sorry later,” katanya.





























