PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin kukuh berikutan perkembangan politik Sabah yang sangat aktif kebelakangan ini dan menjadi gabungan yang terbaik untuk memerintah Sabah, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Pengerusi GRS.
“Semenjak beberapa bulani ini, kita juga melihat perkembangan politik Sabah yang sangat aktif. Antaranya drama yang dibintangi pemimpin UMNO, keputusan beberapa pemimpin untuk meninggalkan bahtera Parti Warisan dan juga penubuhan parti tempatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang selari dengan permintaan rakyat Sabah untuk menjadikan GRS sebagai satu gabungan semua parti tempatan.
“My take on all these is that apa pun yang berlaku, it is at the advantage of GRS. GRS semakin kukuh dan saya percaya, ini adalah gabungan yang terbaik untuk memerintah negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun PBS ke-38 di ITCC Penampang, di sini, malam ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Presiden PBS.
Turut hadir Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan-timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian, serta para pemimpin lain.

Dr. Maximus Ongkili
Dr. Maximus juga menyentuh tentang Akta Anti Lompat Parti yang akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) depan, sebagai susulan kepada akta sama yang telah berkuatkuasa di peringkat Persekutuan sejak bulan Oktober tahun lalu.
Katanya, sekiranya Akta Anti Lompat Parti diluluskan di DUN Sabah, isu ahli politik yang ingin ‘melompat’ setelah menang mungkin akan berlaku dalam suasana berbeza, mereka akan menjadi lebih kreatif untuk berhijrah ke parti lain, kerana budaya lompat parti ini seakan sangat sinonim dengan negeri Sabah.
“Antara semua negeri, kita mungkin mempunyai bilangan ‘katak’ yang paling ramai. Jika Akta ini diluluskan kelak, ramai ingin membunuh ‘katak yang melompat’ tetapi kita harus semat dalam minda, katak bukan sahaja kuat melompat, tetapi ia juga mampu menyelam.
“Oleh itu, kita perlu think outside the box untuk menangani masalah ini sebelum ia berlaku,” kata mantan Ahli Parlimen Kota Marudu dan Menteri Persekutuan itu.





























