KOTA KINABALU: Tuduhan Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Junz Wong bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengerakkan usaha menyebabkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan meninggalkan parti itu tidak boleh diterima dan tidak masuk akal.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kenyataan Junz itu menunjukkan bahawa beliau naif tentang kelemahan partinya sendiri.
Pada Isnin, tiga ADUN Warisan iaitu ADUN Kunak, Norazlinah Arif yang juga Ketua Wanita Warisan, Mohammad Mohamarim (Banggi) dan Ben Chong (Tanjong Kapor) telah mengumumkan bahawa mereka meninggalkan parti itu kerana hilang keyakinan terhadap hala tuju parti itu serta mengambil kira pandangan akar umbi masyarakat di kawasan yang mereka wakili.
Selain dari itu, kata mereka, rakyat juga kebosanan dengan tindakan pemimpin parti itu yang sentiasa mencipta pelbagai polemik dan ketidakstabilan politik di Sabah sehingga memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.
“Sepatutnya, selepas majoriti rakyat Sabah membuat keputusan melalui Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Sabah, maka kepimpinan Parti Warisan perlu menerimanya dengan lapang dada dan seterusnya memberi peluang pada parti yang diberi mandat untuk mengurus dan mentadbir demi pembangunan dan kemajuan rakyat dan negeri. Mereka sepatutnya mengambil peranan sebagai semak dan imbang,” kata Nizam dalam satu kenyataan hari ini.

Nizam Abu Bakar Titingan
Mengenai tuduhan kedua Junz bahawa kononnya Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Pengerusi GRS, tidak ikhlas dalam membentuk kerajaan perpaduan paska Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), katanya, ini juga suatu yang bertentangan dengan tindakan pemimpin Warisan sendiri.
“Bagaimana mungkin sebuah kerajaan perpaduan dapat dibentuk setelah Datuk Seri Shafie Apdal bertindak mengheret Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bersama 12 ADUN UMNO dan 3 ADUN PKDM pada 6 Januari lalu untuk menjatuhkan Kerajaan Sabah yang dipimpin oleh Hajiji dengan cara mengunakan pintu belakng?
“Jelas sekali Junz dan kepimpinan Warisan yang tidak ikhlas dalam hal ini,” tegas Nizam.
Katanya, Junz juga mempamerkan sifat hipokrit apabila beliau menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat tiga ADUN yang keluar dari Warisan itu sedangkan pada Mac, 2022, dua ADUN (ADUN Elopura dan ADUN Sri Tanjung) selepas meninggalkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) juga menyertai Warisan, beliau (Junz) tidak pula minta SPRM melakukan perkara yang sama ketika itu.
Ternyata beliau (Junz) mengambil sifat seruan berpilih dalam hal ini, tambahnya.
Nizam berkata, Kerajaan Sabah yang dipimpin oleh Hajiji, Ketua Menteri Sabah, telah menunjukkan prestasi yang baik dengan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (2020-2025) yang jelas dan terbuku.
“Kutipan hasil yang meningkat, pelaburan yang meningkat, pemulihan ekonomi menerusi pertumbuhan positif serta pencapaian dalam merealisasi perkara-perkara yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Semua pencapian ini adalah suatu manifestasi pengurusan dan pentadbiran negeri yang cemerlang.
“Justeru itu, tidak hairanlah jika ada lagi ADUN pembangkang akan keluar parti mereka dan menyatakan sokongan kepada Hajiji dalam masa terdekat ini,” katanya.































