Hajiji dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shi-Fang menyambut ketibaan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sebaik tiba di SICC. Pemimpin negeri lain turut hadir.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengulangi pendirian negeri bahawa tiada sekatan prosedur operasi standard (SOP) tambahan akan dikenakan ke atas ketibaan warga China selain mewajibkan mereka menghasilkan ujian PCR negatif untuk Covid-19 dan telah divaksin, sepertimana peraturan yang telah ditetapkan oleh negara mereka sendiri.
“Dengan sempadan China dibuka secara rasmi tiga hari lalu pada 8 Januari, kami berharap untuk mengalu-alukan pengunjung China ke pantai kami sekali lagi,” katanya.
Berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang dihoskan oleh Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shi-Fang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam tadi, Hajiji berkata, Sabah mengharapkan lebih banyak pelaburan dari China sebagai kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negeri dan China terus maju.

Hajiji dan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shi-Fang mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk upacara Yee Sang.
“China telah menjadi jiran baik kita. Dalam masa sukar dan pada kemuncak pandemik, Kerajaan China melalui Konsulat China di sini telah menghulurkan pelbagai bantuan kepada Sabah terutamanya bantuan perubatan dan kami bersyukur.
“Kerjasama dan hubungan antara kedua-dua negara kita telah, dan akan sentiasa, baik. Sabah dan China telah saling mendapat manfaat antara satu sama lain dan kita telah berjaya memanfaatkan kerjasama dan pertukaran dalam pelbagai bidang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri berkata, di Sabah dan di seluruh negara, rakyat menyambut Tahun Baharu Cina, bukan sahaja dalam kalangan warganegara Malaysia berketurunan Cina tetapi juga dalam kalangan semua masyarakat pelbagai kaum dan budaya.

Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shi-Fang menyampaikan cenderahati kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sambil diperhatikan oleh Hajiji.
“Pada masa perayaan ini, kami meraikan perayaan itu secara bersama. Rakyat dari semua kumpulan etnik menyertai perayaan itu, mencerminkan perpaduan berbilang kaum, agama dan budaya dalam kepelbagaian,” katanya.
“Dalam zodiak Cina, tahun ini adalah Tahun Arnab. Arnab dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang dan juga menandakan tahun harapan yang sangat tepat apabila kita keluar dari dua tahun pandemik yang mencabar.
“Saya telah menegaskan dalam perutusan Tahun Baharu 2023 saya bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dan kita berharap untuk memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan memajukan pelan pembangunan negeri – Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.































