Frankie Poon Ming Fung
KOTA KINABALU: Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, sejarah tercipta di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini tetapi malangnya, tiada ADUN WARISAN dan sebahagian ADUN UMNO yang hadir untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah tersebut.
“Hari ini merupakan hari yang bersejarah. Hari ini menyaksikan Rang Undang-Undang Gas di Sabah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Hari ini juga menyaksikan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah,” kata ADUN Tanjong Papat itu dalam perkongsian di Facebook beliau hari ini.
Menganggapnya satu langkah penting mengenai realisasi kawalan ke atas penggunaan sumber Sabah, Poon yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Kesihatan dan Ksejahteraan Rakyat negeri itu berkata, pada asasnya ia mengenai segala-galanya dan berkaitan dengan gas dari semasa ke semasa.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memperkasakan Sabah dan merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dari semasa ke semasa.
“Malangnya, tiada ADUN Warisan dan sebahagian ADUN UMNO yang hadir untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini,” ujarnya.
Seramai 35 ADUN, iaitu 19 ADUN Warisan, 13 ADUN Barisan Nasional (BN) Sabah dan tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tidak hadir pada persidangan khas DUN Sabah hari ini.
Dua iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor diluluskan dengan sokongan 44 ADUN yang hadir termasuk Poon.
Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 bertujuan untuk mewujudkan Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Tenaga Sabah (Suruhanjaya). Setelah diluluskan, Suruhanjaya ini akan dikenali sebagai “Energy Commission of Sabah” dengan nama singkatan ECoS, manakala Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal selia sektor pembekalan gas di negeri ini, agar segala aktiviti pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal selia dan dilaksanakan secara efektif and efisyen.
Hajiji berkata, penyerahan kuasa kawal selia gas oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah merupakan salah satu isu tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sabah mempunyai 79 ADUN, iaitu 73 dipilih dan enam dilantik.































