Ak Muhammad Abdullah Pg Ali
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Brunei dilaporkan hilang di sini sejak 19 Disember tahun lalu.
Kali terakhir Ak Muhammad Abdullah Pg Ali, 29, dilihat ialah di kedai TableTop Arena 5-206, Tingkat 2, 1Borneo Hypermall, Jalan Sulaman, di sini, pada hari tersebut semasa berurusan jual beli kad permainan dengan pemilik kedai.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Hajah Kalsom Haji Idris berkata, Ak Muhammad dilaporkan telah datang ke Kota Kinabalu bersama tiga orang rakannya untuk mengikuti acara Hobbycon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Katanya, siasatan awal menunjukkan pada 24 Disember bertempat di Kampung Parit, Jalan Mulaut Limau Manis, Pengkalan Batu, Muara, Brunei Darussalam, seorang pengadu bersama ahli keluarga menunggu kepulangan abangnya (Ak Muhammad) kerana abangnya itu memaklumkan akan balik pada 20 Disember melalui Jalan Feri Menumbok-Labuan-Brunei, namun sehingga laporan dibuat pada 25 Disember, Ak Muhammad belum dapat dikesan.
“Ahli keluarga Ak Muhammad telah menghubungi telefon bimbitnya dan menghantar pesanan WhatsApp namun tidak dapat dihubungi,” kata Kalsom dalaam satu kenyataan hari ini.
Kalsom berkata, pengadu tersebut seterusnya membuat laporan polis di sini pada 25 Disember, jam 9.25 pagi menyatakan bahawa abangnya, Ak Muhammad belum balik ke rumah di Brunei.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Ak Muhammad boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Korul Azlan Mohamad Nawi (Ketua Polis Balai Kota Kinabalu) di talian 010-9300777 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.































