Hajiji (tiga kiri) bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Haji Kadzim M. Yahya dan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif setibanya di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi menghadiri Mesyuarat Khas DUN Sabah (Pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023), hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor ‘menang’ Undi Percaya apabila Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan dua rang undang-undang berkaitan tenaga.
Kedua-dua rang undang-undang tersebut yang dibentangkan oleh Ketua Menteri mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir, yang sekaligus juga membuktikan kesahihan sokongan terhadap kepimpinan Hajiji.
Seramai 35 ADUN iaitu 12 daripada Barisan Nasional (BN) Sabah, 19 daripada Parti Warisan dan tiga daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan satu daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak hadir.
Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023
Yang pertama diluluskan ialah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya untuk menjalankan tanggungjawab kuasa kawal selia bagi sektor pembekalan gas di negeri Sabah agar segala aktviti sektor pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisyen.
Ketua Menteri berkata, pada 2 November 2022, Unit Tenaga Negeri Sabah telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada Jemaah Menteri Negeri tentang pelan tindakan dan garis masa bagi pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga negeri Sabah.
“Cadangan pengambilalihan kuasa kawal selia akan dilaksanakan secara dua fasa. Fasa pertama iaitu pada Januari 2023 akan melibatkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan gas yang pada masa ini di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas) dan Akta Bekalan Gas 1997.
“Fasa kedua yang dirancang oleh Kerajaan Negeri pada April 2023 akan melibatkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu yang pada masa ini di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi elektrik), Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011, dan Akta Tenaga Boleh Baharu 2011.
“Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas) telah diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Disember 2022. Perintah tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022 dan berkuat kuasa pada 10 Januari 2023 iaitu pada hari ini,” jelas Hajiji.
Katanya, selari dengan penguatkuasaan Perintah tersebut, Rang Undang-Undang bagi Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 hendaklah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah pada hari ini bagi memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengambil alih kuasa kawal selia sektor tenaga khususnya bekalan gas.
“Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk mewujudkan Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Tenaga Sabah (Suruhanjaya). Setelah diluluskan, Suruhanjaya ini akan dikenali sebagai “Energy Commission of Sabah” dengan nama singkatan ECoS.
“Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 ini mengandungi 6 Bahagian dan 43 Fasal yang saya akan huraikan satu persatu secara ringkas selepas ini. Perincian kepada perkara tersebut adalah seperti mana yang dinyatakan dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 yang telah diedarkan di dalam Dewan Yang Mulia ini untuk tatapan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
“Bahagian Pertama mengandungi 2 Fasal yang menyatakan berkenaan dengan tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa dan peruntukan bahawa Rang Undang-Undang ini memberi kuasa kepada Suruhanjaya mengawal selia dan memastikan pengagihan pembekalan gas adalah teratur. Rang Undang- Undang ini telah ditetapkan berkuat kuasa pada 10 Januari 2023.
“Bahagian Kedua mengandungi 11 Fasal yang menerangkan berkenaan dengan struktur organisasi penubuhan Suruhanjaya.
“Bahagian Ketiga mengandungi 5 Fasal yang menyatakan fungsi dan kewajipan Suruhanjaya antaranya adalah untuk mengawal selia, menggalakkan kecekapan, keekonomian dan keselamatan dalam segala perkara yang berhubungan dengan pembekalan gas melalui talian paip dan penggunaan gas sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang pembekalan gas.
“Bahagian Keempat mengandungi 7 Fasal yang memperuntukkan berkenaan dengan pelantikan pegawai dan faedah yang disediakan oleh Suruhanjaya.
“Bahagian Kelima mengandungi 11 Fasal yang memberi penerangan berkenaan dengan prosedur kewangan Suruhanjaya. Satu Kumpulan Wang Tenaga Sabah akan diwujudkan bagi maksud undang-undang pembekalan tenaga yang akan ditadbir dan dikawal oleh Suruhanjaya,” katanya.
Tambahnya, Bahagian Keenam mengandungi 7 Fasal yang memperuntukkan perkara-perkara am antaranya pendakwaan, pekhidmat awam, Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, kuasa untuk mengambil kerja, kewajipan kerahsiaan dan representasi dalam prosiding sivil.

Hajiji bersalaman dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim semasa menghadiri Mesyuarat Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah (Pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023) di DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023
Sementara itu, Kerajaan Negeri kini mempunyai kuasa untuk mengawal selia sector pembekalan gas di negeri ini dengan lulusnya Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 yang penting agar segala aktiviti pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal selia dan dilaksanakan secara efektif and efisyen.
Hajiji berkata, penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah merupakan salah satu isu tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dan akhirnya pada 21 Disember 2022, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan telah meluluskan penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas melalui Perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas).
“Perintah tersebut telah diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong pada 27 Disember 2022 dan berkuat kuasa pada hari ini, 10 Januari 2023.
“Maka dengan itu, Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 hendaklah dibentang pada hari ini bertujuan untuk mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas merangkumi bekalan gas daratan (on shore) iaitu pengimportan gas ke terminal penggasan semula, pemprosesan gas, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan/penghantaran gas, pengagihan gas, peruncitan gas dan penggunaan gas,” katanya.
Rang Undang-Undang ini akan ditadbir dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (Suruhanjaya), katanya.
Ketua Menteri berkata, Rang Undang-Undang Bekalan Gas 2023 ini mengandungi 7 Bahagian dan 81 Fasal yang saya akan huraikan satu persatu secara ringkas selepas ini.
Hajiji menjelaskan Bahagian Pertama mengandungi 2 Fasal yang menyatakan tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa dan peruntukan bahawa Rang Undang-Undang ini memberi kuasa kepada aktiviti pembekalan gas. Rang Undang-Undang ini telah ditetapkan berkuat kuasa pada 10 Januari 2023.
“Bahagian Kedua mengandungi 1 Fasal yang menerangkan fungsi dan kewajipan Suruhanjaya, antaranya adalah untuk melindungi kepentingan pengguna gas yang dibekalkan oleh pemegang lesen. Suruhanjaya juga berfungsi untuk membangun dan mengeluarkan kod, garis panduan dan arahan berkenaan dengan pembekalan gas.
“Bahagian Ketiga mengandungi 7 Fasal yang menyatakan berkenaan dengan perlesenan, proses permohonan lesen, pemberian lesen, cagaran semasa pemberian lesen jika diperlukan, syarat-syarat pemberian lesen, kuasa untuk mengenakan syarat-syarat tambahan atau meminda syarat- syarat lesen, penggantungan dan pembatalan lesen.
“Bahagian Keempat mengandungi 23 Fasal yang antara lain menerangkan perkara-perkara berkaitan dengan lesen, bekalan gas, kuasa menetapkan tarif dan caj; dan piawaian bekalan gas.
“Bahagian Kelima mengandungi 9 Fasal yang memperuntukkan berkenaan dengan perbuatan salah, kerja atau aktiviti yang tidak dibenarkan, kesalahan percubaan dan subahat, beban pembuktian, pemberian maklumat, kerahsiaan, perintah pembayaran kos pendakwaan dan pampasan, peruntukan mengenai wang yang boleh dibayar sebagai kos atau pampasan. Kesalahan yang menyebabkan kecederaan kepada nyawa atau tubuh manusia atau kerosakan kepada apa-apa harta, boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.
Katanya, Bahagian Keenam mengandungi 18 Fasal yang menyatakan tentang penguatkuasaan.
“Bahagian Ketujuh mengandungi 21 Fasal yang memperuntukkan perkara-perkara pelbagai antara lain iaitu kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan, penalti am, pengkompaunan kesalahan, pendakwaan, rekod pendaftaran, orang kompeten, pengauditan pemegang lesen, kemalangan serius hendaklah dilaporkan, perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang, kuasa khas semasa darurat, kecualian dan peralihan (savings and transition) selama 6 bulan.































