Kenny Chua
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merayu kepada semua pemimpin supaya memberi peluang perpaduan bekerja dan mengelak daripada berpolitik tanpa henti.
Naib Presiden STAR, Kenny Chua berkata, STAR berdiri bersama rakyat yang mahu melihat kerajaan yang lebih bersatu yang memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.
“Jadi, marilah kita menamatkan politik yang tidak berkesudahan dan tidak perlu. Mari berganding bahu dan beri peluang kepada perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chua mengingatkan bahawa perpecahan politik dan konflik berterusan hanya akan mengganggu pertumbuhan Sabah.
“Kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai perancangan besar untuk membangunkan negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Tiada siapa yang mahu berpolitik mengganggu semua ini,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa STAR dan GRS kekal komited terhadap visi dan misi ini dan berharap parti lain akan bergabung tanpa mengira ideologi politik mereka yang berbeza.
Untuk mencapainya, beliau berkata, memerlukan perpaduan yang kukuh.
Beliau juga menekankan bahawa Sabah kini berada dalam kedudukan yang kukuh berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan kembali hak-hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Setakat ini, kami telah mencapai beberapa tahap kejayaan dalam usaha ini. Jika kita tidak bersatu, kita tidak akan berada dalam kedudukan yang kuat lagi,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa rakyat Sabah mahu melihat kerajaan yang dilihat berusaha membantu mengubah nasib mereka, bukannya ahli-ahli politik yang berjuang untuk memperkasa hanya diri sendiri dan penyokong mereka.































