KUALA LUMPUR (Bernama): Polis sedang menyiasat kes pengabaian melibatkan seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang ditemukan tidak sedarkan diri dan mengalami sawan selepas diambil ibunya dari rumah pengasuh baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata selain sawan, pemeriksaan awal terhadap bayi berkenaan turut menemui kesan lebam dan luka pada bahagian muka serta telinga mangsa.
Beliau berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas ibu mangsa membawa bayi itu ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan pada 14 Nov lepas.
“Mangsa kini ditempatkan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Fadil berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan hantaran yang belum disahkan di media sosial kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — BERNAMA






























