Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA (Bernama): Kerajaan MADANI akan terus berusaha menambah baik prestasi pentadbiran sepanjang baki tempoh lebih setahun sebelum berakhirnya penggal semasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha itu akan terus diberi perhatian bagi memastikan prestasi kerajaan dapat ditingkatkan lagi.
“Insya-Allah kita akan buat sebaik mungkin dan kita perbaik prestasi kita. Kita ada setahun lebih lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara “AI TEMU AI” di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya tentang perancangan Kerajaan MADANI selepas empat tahun mengemudi negara.
Semalam, Anwar menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan MADANI berjaya membina asas lebih kukuh untuk Malaysia meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dan kedudukan kewangan negara yang terbatas.
Beliau berkata sepanjang empat tahun pentadbiran, kedudukan kewangan negara terus diperkemas, tatakelola diperbaik, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyifatkan perjalanan dalam tempoh itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun amanah perlu terus digalas dengan penuh kesungguhan serta menzahirkan kesyukuran kerana kerajaan bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia. — BERNAMA






























