Gambar hiasan
MANILA (Bernama-AP): Sebuah pesawat Air Niugini yang membawa 146 penumpang dan kru dari Hong Kong ke Papua New Guinea selamat melakukan pendaratan kecemasan di sebuah bandar di selatan Filipina pada Sabtu susulan tanda-tanda kemungkinan berlaku kebakaran pada enjin pesawat, menurut pegawai penerbangan Filipina.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan 137 penumpang dan sembilan kru yang keluar menggunakan gelongsor kecemasan pesawat Boeing 767-383ER itu selepas penerbangannya dilencongkan daripada laluan asal dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Davao, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, lapor Associated Press (AP).
Juruterbang melaporkan bahawa alat penunjuk mengesan kemungkinan berlaku percikan api atau kebakaran pada enjin sebelah kanan.
Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina Eric Apolonio berkata juruterbang melaksanakan prosedur keselamatan dan memohon untuk melakukan pendaratan tidak berjadual di Davao sejurus selepas tengah malam.
Beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun berkata siasatan akan turut mengambil kira keterangan juruterbang.
Penumpang dan kru dibawa ke terminal lapangan terbang serta diberikan bantuan dan penginapan hotel. Tiada laporan segera mengenai kerosakan pada pesawat itu.
Lapangan Terbang Davao ditutup kepada penerbangan lain bagi memberi laluan kepada tindakan kecemasan, menyebabkan dua penerbangan domestik yang dijadualkan tiba dibatalkan.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, lapangan terbang itu dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan di landasan utama selesai dijalankan. — BERNAMA-AP






























