Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta memperjelas status pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing tanpa izin (PTI) di Sabah, termasuk tindakan yang telah dilaksanakan dan perkara yang masih tertangguh.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membentangkan laporan kemajuan pelaksanaan syor berkenaan bersama Kerajaan Negeri Sabah supaya rakyat mendapat gambaran jelas mengenai perkembangan usaha menangani isu itu.
Beliau berkata perkara tersebut penting memandangkan KDN sebelum ini, pada Jun 2024, memaklumkan bahawa proses pendataan digital warga asing sedang dilaksanakan di Sabah sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu berkenaan.
“Tuaran meminta KDN bersama Kerajaan Sabah membentangkan status pelaksanaan syor RCI mengenai pendatang asing. Nyatakan apa yang sudah selesai, apa yang masih tertangguh dan sebabnya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Madius turut meminta kementerian memperincikan tindakan yang dirancang bagi 2027, termasuk agensi yang bertanggungjawab, peruntukan serta tarikh pelaksanaan setiap langkah.
Menurutnya, selepas status pelaksanaan disahkan, kerajaan juga perlu menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap setiap kategori kes mengikut peruntukan undang-undang, selain memperketat kawalan bagi mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan memerlukan penyelesaian yang mempunyai hala tuju dan tempoh pelaksanaan jelas, bukannya sekadar pengumuman mengenai langkah yang sedang dirancang.
“Rakyat Sabah sudah lama menunggu. Mohon Menteri tetapkan bila laporan dan jadual tindakan ini akan dibentangkan kepada Dewan,” katanya.
Madius berharap KDN dapat memberikan komitmen yang jelas mengenai pembentangan laporan serta jadual tindakan susulan bagi memastikan pelaksanaan syor RCI dapat dipantau secara lebih teratur.
*Tamat*






























