Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dicadangkan supaya memberikan keputusan atau penjelasan mengenai status permohonan dokumentasi rakyat Sabah dalam tempoh 90 hari selepas proses semakan dilaksanakan bagi mengelakkan pemohon terus berada dalam ketidakpastian.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata usaha menyelesaikan isu dokumentasi perlu diperluas ke seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman dan pulau yang berdepan cabaran akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Beliau berkata isu pendaftaran kelahiran, permohonan kad pengenalan dan penentuan taraf perlu diteliti berdasarkan bukti serta kelayakan setiap pemohon, tanpa membiarkan keluarga terpaksa berulang-alik ke pejabat kerajaan tanpa mengetahui perkembangan kes masing-masing.
“Jangan keluarga terus berulang-alik tanpa tahu kedudukan permohonan. Mohon Menteri nyatakan jadual pelaksanaan dan sasaran kes yang akan diputuskan mengikut daerah pada 2027,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Madius mencadangkan JPN mempergiatkan operasi turun padang menerusi program MEKAR dengan jadual lawatan yang lebih tersusun dan meliputi kawasan yang sukar diakses.
Menurutnya, semakan dokumen perlu dilakukan lebih awal sebelum sesuatu lawatan diadakan, selain menetapkan pegawai yang boleh dirujuk bagi setiap kes supaya proses pengurusan permohonan menjadi lebih teratur.
Beliau menjelaskan tempoh 90 hari yang dicadangkan itu membolehkan pemohon menerima keputusan atau maklumat mengenai dokumen tambahan yang diperlukan, sebab sesuatu permohonan masih tertangguh serta tarikh tindakan seterusnya.
Pendekatan itu, katanya, penting bagi memastikan pemohon mengetahui kedudukan sebenar kes masing-masing dan tidak terus menunggu tanpa sebarang maklumat.
Madius turut meminta kementerian menetapkan sasaran penyelesaian kes mengikut daerah bagi 2027 supaya kemajuan pelaksanaan dapat dinilai secara lebih sistematik.
Beliau menegaskan bahawa dalam usaha kerajaan mengurus isu warga asing di Sabah, kebajikan rakyat yang sememangnya layak mendapatkan dokumen pengenalan diri juga perlu diberikan perhatian sewajarnya.






























