SEMPORNA (Bernama): Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan tujuh lelaki warga China dalam operasi di sebuah tempat peranginan (resort) di sini Isnin lepas, setelah disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di situ.
Pengarahnya Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata sebanyak 14 individu diperiksa membabitkan sembilan warga China dan lima warga tempatan.
“Siasatan lanjut mendapati tempat peranginan berkenaan dibina di atas tanah sewa seluas 1.78 hektar dan tidak mempunyai permohonan pekerja asing.
“Selain itu turut didapati tempat peranginan itu tidak memiliki lesen bagi pengendalian pelancongan serta tiada lesen daripada Majlis Daerah Semporna. Semua tahanan di bawah ke Pejabat Imigresen Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata JIM Sabah mengingatkan semua majikan supaya mematuhi prosedur pengambilan pekerja asing termasuk memastikan dokumen serta kelulusan sah dan berdaftar.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi pendatang tanpa izin dan JIM Sabah akan terus menggiatkan operasi penguatkuasaan membanteras pendatang haram,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi SISPAA https://spab.gov.my atau SPO Https://eapp.imi.gov.my. — BERNAMA






























