JOHOR BAHRU (Bernama): Polis giat mengesan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Taman Bukit Indah, Skudai di sini, hingga menyebabkan sebuah kereta orang awam mengalami kerosakan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu, daripada seorang wanita kira-kira pukul 10.27 malam, pada Selasa.
“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan tujuh lelaki tempatan di luar pusat beli-belah itu, yang turut menyebabkan sebuah kereta milik orang awam di sekitar kawasan berkenaan mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Radin Ramlan berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 serta 427 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya menerusi talian 07-5113622 atau 07-5114486 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 13 saat di media sosial yang memaparkan mengenai kejadian pergaduhan itu. — BERNAMA
































