Masiung Banah
KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah mencadangkan negeri ini dijadikan hab pangkalan pertama bagi pembangunan program tenaga nuklear negara.
Pengerusinya Datuk Masiung Banah berkata sudah tiba masanya Malaysia melangkah ke fasa pembangunan tenaga nuklear selaras dengan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang 2030.
Beliau berkata Kerajaan Sabah dan Persekutuan boleh bekerjasama membangunkan program berimpak tinggi itu, yang boleh direalisasikan menerusi rundingan di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan keupayaan bekalan tenaga elektrik di Sabah semakin meruncing dan masih jauh ketinggalan berbanding kemajuan utiliti di Semenanjung.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Sabah dan Semenanjung merupakan pilihan paling praktikal untuk pembangunan loji tenaga nuklear bagi dekad akan datang sekiranya negara bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Masiung berkata Malaysia boleh mempertimbangkan penggunaan Tenaga Nuklear Terapung (Floating Nuclear Power Plant atau FNPP) sebagai langkah permulaan kerana kosnya lebih fleksibel dan tempoh pembinaannya lebih singkat.
Katanya, pendekatan itu bersesuaian untuk Sabah yang mempunyai kawasan garis pantai yang luas.
Beliau berpandangan negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil, terutama apabila sumber arang batu dan gas asli semakin terhad, selain sebahagian keperluan gas terpaksa diimport dari luar negara.
Katanya, pergolakan geopolitik di Selat Hormuz serta ketidaktentuan global yang semakin meruncing turut menuntut negara merangka strategi tenaga jangka panjang.
“BBC melihat Kerajaan Sabah harus bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031, selain mengurangkan kebergantungan kepada gas asli dan diesel dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.
“Kos penggunaan loji FNPP lebih rendah dan kurang berisiko, manakala pembinaannya lebih terkawal berbanding loji konvensional di daratan,” katanya.
Masiung yang juga ADUN Kuamut berharap cadangan pembangunan tenaga nuklear menerusi FNPP di Sabah dapat dibawa ke peringkat rundingan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Beliau berkata pembangunan tenaga nuklear juga merupakan antara penyelesaian strategik untuk mengurangkan pelepasan karbon secara besar-besaran.
































