Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA (Bernama): Malaysia memerlukan pemimpin mempunyai visi dan prihatin terhadap masalah rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah serta pekerja bawahan yang menyumbang kepada pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemimpin perlu memahami nasib rakyat, termasuk pesawah padi, pemandu teksi, petani dan nelayan, selain mengambil berat tentang keperluan persekolahan anak-anak, kebajikan mahasiswa serta kecukupan gaji penjawat awam berpendapatan rendah.
“Negara ini perlukan pimpinan yang betul-betul laksana (visi) yang dibawa. (Bukan) yang cakap banyak, cakap pandai, tetapi yang tahu, apa nasib pemandu teksi, apa nasib petani, apa nasib nelayan, bagaimana anak sekolah, beli buku, bagaimana mahasiswa cukup makan atau tidak?
“Ini semua kita (pemimpin) kena fikir, jadi kena buat perancangan macam-macam saudara-saudara, bukan kerja yang mudah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa (BKKT) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.
Anwar berkata sumbangan semua golongan masyarakat perlu dihargai dan kerajaan tidak seharusnya memandang rendah mana-mana profesion, termasuk pemandu teksi yang turut memainkan peranan dalam membantu ekonomi dan sektor pelancongan negara.
“Semua ada peranan, jadi inilah masanya dalam Belanjawan 2027 baru-baru ini, saya kata, eloklah ini masa kita pulangkan balik kepada rakyat kerana sumbangan mereka selama ini,” katanya.
Beliau berkata majoriti pemandu teksi bekerja mencari rezeki halal dan golongan itu perlu diberi sokongan serta penghargaan, manakala tindakan perlu diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan sekiranya terdapat bukti.
“Tapi jangan kita kutuk semua, sebab majoriti (mereka) kerja dengan ikhlas, dia tahu rezeki yang halal. Jadi kita kena bagi sokongan dan penghargaan,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sama sekali tidak akan menafikan hak dan akan berterusan menghargai sumbangan semua golongan masyarakat, termasuk pekerja bawahan.
Beliau berkata kerajaan akan terus mencari jalan untuk meringankan beban rakyat menerusi pelbagai bantuan, termasuk penambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Apa-apa kemudahan lain kita boleh runding, cari jalan nak ringan beban rakyat kerana memang kos sara hidup ada masalah…perang Iran, Israel, Amerika, dah sampai ke Arab Saudi. Bila dah sampai, harga melambung dan rakyat terbeban,” katanya.
Anwar turut berkongsi pengalaman ketika berdepan kesukaran ketika era reformasi pada 1998, apabila golongan pemandu teksi menjadi antara penyokong tegarnya ketika beliau ditangkap dan dipenjarakan.
“Masa saya susah, kena terajang, kena pukul, masuk lokap, orang ini yang bantu saya. Takkan bila dah jadi Perdana Menteri, pemandu teksi minta RM1,000 saya nak kata tak boleh,” katanya.
Anwar berkata beliau tidak pernah melupakan jasa golongan itu dan berpendapat sumbangan mereka wajar dihargai, khususnya ketika kerajaan mempunyai kemampuan untuk memulangkan hasil negara kepada rakyat.
“…kerana kita (kerajaan) dapat hasil, kita pulangkan balik,” katanya.
Majlis penyerahan sulung bantuan itu melibatkan 500 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah Zon Tengah sebagai penerima simbolik, susulan pengumuman Anwar menerusi Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas bahawa bantuan berkenaan akan disalurkan minggu ini sebagai langkah memulangkan hasil kutipan RM91.2 juta daripada penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri H kepada rakyat. — BERNAMA


































