Joniston (tengah) mewakili Ketua Menteri melakukan gimik pelancaran, sambil diperhatikan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah (kiri).
KOTA KINABALU: Bandar pesisir perlu mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar serta memperkukuh daya tahan terhadap perubahan iklim, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, bandar pesisir merupakan pusat penting bagi perdagangan, pelancongan dan aktiviti ekonomi, namun kedudukannya yang berhampiran laut turut mendedahkannya kepada kenaikan paras laut, cuaca ekstrem dan pencemaran.
“Cabaran ini merentasi sempadan. Laut, ekosistem dan ekonomi kita saling berkait, dan tindak balas kita juga perlu saling berhubung. Kita tidak perlu memilih antara kemakmuran dengan perlindungan.
“Dengan perancangan yang bijak dan kerjasama, kita dapat membina bandar yang lebih selamat, bersih dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Dialog Datuk Bandar Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIMD) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, penyesuaian terhadap perubahan iklim juga perlu diterapkan dalam pengurusan bandar harian, merangkumi sistem perparitan, sanitasi, kawalan banjir, perlindungan pesisir serta pemulihan kawasan bakau dan sungai.
“Penyelesaian berasaskan alam semula jadi dapat membantu melindungi masyarakat kita serta ekosistem yang menyokong Ekonomi Biru,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan semua keutamaan itu memerlukan pembiayaan dan kerjasama.
“Bandar memerlukan akses yang lebih baik kepada pembiayaan iklim, perkongsian awam-swasta dan sumber sokongan lain bagi pembangunan infrastruktur hijau serta projek penyesuaian iklim. Bandar juga perlu belajar antara satu sama lain. Tiada bandar yang mampu menangani cabaran ini secara bersendirian,” katanya.
Hajiji berkata, penganjuran KKIMD 2026 yang menghimpunkan peserta dari lapan negara dan 15 bandar, termasuk wakil dari Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, amat signifikan bagi Sabah.
Beliau berkata, Sabah merupakan sebahagian daripada Segi Tiga Terumbu Karang, antara kawasan marin yang paling kaya dengan biodiversiti di dunia.
Laut Sabah menyokong mata pencarian, keselamatan makanan dan pelbagai industri maritim, justeru perlindungan sumber berkenaan penting bagi memastikan kelestarian ekonomi jangka panjang, katanya.
“Komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pemuliharaan dengan pembangunan ekonomi dicerminkan melalui Taman Tun Mustapha, yang memberi tumpuan kepada usaha melindungi ekosistem marin sambil menyokong masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, prinsip sama turut menjadi panduan kepada agenda Ekonomi Biru Sabah yang bertujuan mewujudkan peluang mampan dalam sektor perikanan, akuakultur, bioteknologi marin, perkhidmatan maritim, pelancongan pesisir dan pulau, tenaga boleh baharu marin serta logistik.
“Matlamat kita adalah untuk membangunkan peluang ini secara bertanggungjawab supaya laut Sabah terus menyokong ekonomi dan masyarakat kita,” katanya.
Hajiji berkata, Ekonomi Biru juga selaras dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menekankan manfaat nyata kepada rakyat melalui peluang ekonomi yang lebih baik, pengukuhan mata pencarian dan penambahbaikan perkhidmatan awam.
“Kita juga sedang memajukan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024–2034, yang menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama antarabangsa yang lebih erat serta pelaburan jangka panjang dalam Ekonomi Biru Sabah, infrastruktur hijau dan inovasi digital.
Mengiktiraf usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi agenda Bandar Pintar, Hajiji berkata, teknologi seperti kecerdasan buatan, kembar digital, peralatan geospatial dan platform data bandar berupaya meningkatkan sistem amaran banjir, perancangan guna tanah serta penyampaian perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa transformasi digital perlu kekal berteraskan rakyat, telus dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, cadangan Kenyataan Bersama Kota Kinabalu boleh menetapkan komitmen bersama terhadap kerjasama dalam Ekonomi Biru, tadbir urus digital, daya tahan bandar dan perkongsian antarabangsa.
Cadangan penubuhan Rangkaian KKIMD serta pelaksanaan kajian semula kemajuan tahunan juga boleh membantu menterjemahkan komitmen berkenaan kepada tindakan berterusan, katanya.
































